Skip to main content

Malaysia

KESUMA tiada masalah jika guna sistem baharu pengambilan pekerja asing Bestinet - Ramanan

KUALA LUMPUR, 16 April -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan bercakap kepada media selepas hadir mesyuarat anjuran Concorde Club di Wisma Bernama hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHA
Ramanan berkata, kementerian kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan sistem berkenaan, dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap) - Foto/fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak melihat sebarang isu dalam penggunaan sistem baharu pengambilan pekerja asing yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kementerian kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan sistem berkenaan, dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap).

“Kami masih dalam perbincangan. Selepas itu, saya akan membentangkan kertas kepada Kabinet. Setakat ini, saya tidak melihat sebarang isu untuk menggunakan Bestinet sebagai pembangun sistem,” katanya hari ini.

Sistem tersebut dipromosikan sebagai penyelesaian yang membolehkan majikan mengambil pekerja secara langsung tanpa melalui orang tengah yang sering mengenakan bayaran tinggi.

Turap akan menyediakan portal digital bagi membolehkan majikan mendaftar serta mencari pekerja dengan lebih mudah.

Bestinet merupakan syarikat teknologi maklumat tempatan yang turut membangunkan Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS).

Ramanan menambah, ada pihak mempersoalkan pembabitan Bestinet dalam projek itu, sedangkan mereka beroperasi secara percuma dengan kerajaan sejak 13 tahun lalu.

"Bestinet juga beroperasi di 185 negara kerana sistem FWCMS mereka digunakan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

"Saya bukan mempertahankan Bestinet, tetapi menyatakan fakta," katanya.

Ramanan berkata, kerajaan merancang memperkenalkan sistem pengambilan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan semua negara sumber.

Must Watch Video