SHAH ALAM: Keadaan kesihatan Tokoh Wartawan Negara Adibah Amin kini stabil walaupun fizikalnya semakin lemah dan memerlukan penjagaan sepenuh masa selepas tidak lagi mampu berjalan sejak Mei 2024.
Pemilik nama penuh Khalidah Adibah Amin, 90, yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1991, sebelum ini pernah diserang angin ahmar pada 2008 namun masih mampu bergerak perlahan dan menjalani kehidupan seperti biasa selepas itu.
Adiknya, Khalilah Fadzilah Amin, 87, berkata selain menghidap diabetes, Adibah lemah kerana faktor usia dan beliau kini tidak lagi mampu berjalan serta hanya boleh duduk di kerusi roda dalam tempoh yang singkat.
"Kalau duduk di kerusi roda pun sekejap sahaja, mungkin setengah jam, lepas itu dia penat... tiada rawatan khusus yang dijalani, doktor hanya nasihatkan supaya kita pastikan dia selesa dan tidak memaksa dia melakukan sesuatu yang dia tidak mampu,” katanya kepada Bernama di kediaman mereka di sini hari ini.
Beliau berkata Adibah juga tidak lagi mampu menelan makanan seperti biasa kerana tekaknya lemah dan doktor bimbang makanan yang ditelan boleh masuk ke paru-paru serta menyebabkan pneumonia.
Khalilah Fadzilah berkata meskipun keadaan fizikal kakaknya semakin lemah, Adibah masih mengenali ahli keluarga dan individu yang rapat serta mampu berkomunikasi walaupun dengan suara perlahan.
Beliau juga memaklumkan bahawa Adibah kini dijaga sepenuh masa oleh seorang penjaga terlatih yang berpengalaman dalam menguruskan pesakit terlantar bagi memastikan segala keperluan hariannya diurus dengan baik.
Sepanjang kerjayanya, Adibah pernah berkhidmat sebagai Editor di akhbar The Star dan New Straits Times selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.
Beliau juga dikenali sebagai kolumnis, penterjemah, pendidik dan novelis serta pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Tunku Kurshiah.
Pada Jun 2024, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia bersempena dengan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.
Sementara itu, sebagai menghargai sumbangan beliau, keluarga dan rakannya akan menganjurkan malam penghormatan khas pada 12 April ini di Hotel Majestic di sini termasuk pelancaran semula buku As I Was Passing edisi khas Legacy Edition dan sesi tribut, tayangan video serta persembahan muzik.
Rakan keluarga, Lay Hua pula berkata hasil kutipan acara berkenaan akan disalur bagi menyokong keperluan penjagaan Adibah selain memelihara legasi beliau melalui penganugerahan Adibah Amin Literary Prizes kepada penulis muda.
Anak saudara Adibah, Amin Abdul Nasir Sulaiman Shakib berkata penganjuran malam penghargaan itu penting supaya generasi muda tahu siapa beliau dan sumbangannya kepada dunia penulisan.
Individu atau syarikat yang berminat menjadi penaja boleh menghubungi [email protected] untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA