KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan ciri keselamatan termasuk pemasangan lampu solar dan penghadang jambatan di laluan Tapah-Cameron Highlands sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu merupakan langkah secara berfasa susulan kemalangan di lokasi berkenaan pada 23 April lalu sehingga mengorbankan seorang mangsa.
“Langkah segera telah diambil termasuk pemasangan delineator string bagi meningkatkan panduan visual kepada pengguna jalan raya.
"Bagi jangka pendek ini, pemasangan bridge railing dengan jangkaan siap pada 15 Mei ini. Selain itu, guardrail, papan tanda serta lampu solar yang sebelum ini tiada, juga akan dipasang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan International Conference on Slope (ICOS) 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur pada Rabu.
Jelas Alexander, pelaksanaan penambahbaikan itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan keselamatan lebih menyeluruh.
Beliau menambah, kementeriannya turut mengeluarkan arahan kerja kepada kontraktor bagi 45 lokasi di bawah Fasa 1 Penyelenggaraan.
“Langkah ini membuktikan tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menangani isu infrastruktur jalan raya di seluruh negara. Ini baru Fasa 1, banyak lagi arahan kerja akan dikeluarkan selepas ini,” ujarnya.
Pada 23 April lalu, seorang maut manakala lima lagi cedera apabila Perodua Aruz dinaiki mereka terbabas ke gaung sedalam kira-kira tiga meter di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands.