Skip to main content

Malaysia

Kes tembak: Enam kelongsong peluru dijumpai, motif dipercayai hutang - Ketua Polis Johor

JOHOR BAHRU, 24 April -- Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bercakap pada sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM1.8 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad bercakap pada sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM1.8 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya enam das tembakan dipercayai dilepaskan dalam kejadian tembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, baru-baru ini, yang mengorbankan tiga individu. 

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata hasil siasatan di lokasi menemukan enam kelongsong peluru dipercayai daripada tembakan yang dilepaskan oleh suspek di tempat kejadian.

Beliau berkata suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun yang bekerja sebagai pekebun itu dipercayai bertindak susulan isu hutang berjumlah RM50,000 dengan mangsa wanita warga Vietnam berusia 37 tahun.

“Suspek dipercayai memberi wang secara berperingkat sejak 2023 untuk membantu wanita itu menguruskan kedai makan, namun tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat dan hubungan mereka sekadar kenalan.

"...wanita tersebut dipercayai menguruskan premis kedai makan milik keluarga mentuanya manakala dua lagi yang maut adalah pelanggan tetap kedai tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Kedua-duanya mangsa berusia 61 dan 63 tahun itu berada di lokasi ketika insiden berlaku, katanya.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek memiliki lesen pemilikan senjata api yang sah, namun lesen tersebut dikeluarkan di Kuantan, Pahang dan bukan di Johor.

Ab Rahaman memberitahu, suspek telah ditahan dan direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor dan arahan telah diperoleh untuk mendakwa suspek atas tiga pertuduhan membunuh dan pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Kota Tinggi pada Isnin ini," katanya.

Beliau berkata ujian saringan mendapati suspek negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian manakala laporan penuh bedah siasat masih ditunggu bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

Dalam kejadian Ahad lepas, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditemukan maut akibat ditembak di sebuah restoran di Taman Kota Jaya.

Ab Rahaman berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, kesemua mangsa berusia 37 hingga 63 tahun dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.

-- BERNAMA

Must Watch Video