KUALA LUMPUR: Dendam lama akibat perebutan kawasan dipercayai menjadi punca insiden tembakan yang mencederakan seorang lelaki tempatan dalam kejadian pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, di sini Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu membabitkan dua kumpulan sebelum satu das tembakan dilepaskan dan mengenai perut mangsa.
"Mangsa berusia 41 tahun kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.
Kumar berkata, susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan dua lelaki tempatan di sebuah hotel di Klang kurang 24 jam selepas kejadian.
"Hasil pemeriksaan di bilik hotel itu, polis merampas sepucuk pistol bersama peluru serta satu lagi objek menyerupai pistol yang dipercayai tiruan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah.
"Siasatan awal mendapati kejadian ini bermotifkan dendam dan tidak menolak kemungkinan membabitkan kumpulan yang aktif dalam kegiatan jenayah terancang," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis masih menunggu laporan forensik bagi mengesahkan sama ada senjata api yang dirampas digunakan dalam kejadian tembakan itu.
Kumar memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Kedua-dua suspek katanya, kini direman sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan lanjut.