Skip to main content

Malaysia

Jurubahasa wanita, dua lelaki bebas daripada tuduhan bersubahat membunuh

BERNAMA
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka telah bersubahat melakukan bunuh terhadap Chow Tiam Hee di sebuah rumah di Taman Anika, Sungai Udang, Klang antara pukul 1.20 pagi hingga 1.40 pagi pada 15 Sept 2022. - Foto Bernama

KLANG: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan seorang jurubahasa bebas wanita dan dua lelaki daripada tuduhan bersubahat membunuh suami jurubahasa itu, empat tahun lepas. 

Hakim Norliza Othman membebaskan Leong Eng Eng, 41, Lim Yon Hay, 40, dan Mok Kum Loon, 41, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan untuk menarik balik pertuduhan sama terhadap seorang lagi  lelaki yang juga adik kepada Yon Hay, iaitu Lim Yon Loon, yang telah meninggal dunia akibat tuberkulosis (tibi) tahun lepas. 

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka telah bersubahat melakukan bunuh terhadap Chow Tiam Hee, 41, di dalam sebuah rumah di Taman Anika, Sungai Udang di sini antara pukul 1.20 pagi hingga 1.40 pagi pada 15 Sept 2022.

Norliza dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa kesemua tertuduh telah bersubahat membunuh dalam kejadian itu dan tiada keterangan daripada mana-mana saksi pendakwaan yang mengesahkan kesemua tertuduh telah bersubahat melakukan perbuatan itu sama ada melalui keterangan terus mahupun keadaan.

“Leong ialah isteri kepada si mati pada hari kejadian … untuk membuktikan Leong melakukan pembunuhan mencederakan si mati sehingga menyebabkan kematian, pihak pendakwaan memerlukan lebih daripada sekadar menunjukkan ada tompokan darah pada baju dan seluar tertuduh.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan pihak pendakwaan didapati agak kabur kecuali Leong yang merupakan satu-satunya wanita dalam rakaman itu dan tiada apa-apa yang pelik mengenainya kerana dia berada di kawasan rumahnya,” katanya. 

Selain itu, CCTV yang dikemukakan tidak boleh diterima apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi menyangkal hujahan pembelaan bahawa ia dokumen janaan komputer. 

Menurut Norliza, pihak pendakwaan hanya mengemukakan kad memori yang dirampas oleh pegawai penyiasat yang menyebabkan tiada perbandingan dibuat dengan peranti asal bagi mengesahkannya.

“Pihak pendakwaan mengemukakan sejumlah wang RM2,600 yang dirampas daripada Yon Hay yang dikatakan sebagai wang upahan, namun tiada sebarang keterangan yang dikemukakan bahawa lelaki itu menerima wang terbabit sebagai upah.

“Dari sudut lain ialah kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat apabila tiada rakaman penting, iaitu pergelutan untuk menunjukkan bahawa suspek yang bergelut dengan si mati dan mencederakannya ialah kesemua tertuduh,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, katanya, pegawai penyiasat gagal menyiasat rantaian antara semua tertuduh dalam kes itu termasuk individu yang hadir di rumah tersebut pada malam kejadian dan kaitan mereka dengan Leong. 

“Saya memutuskan pada akhir kes pendakwaan, pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie atas pertuduhan dihadapi oleh kesemua kamu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, ketiga-tiga kamu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan ini,” katanya. 

Sebanyak 22 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada September 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli, manakala peguam Datuk Mohd Daud Leong Abdullah mewakili jurubahasa terbabit, sementara dua lagi tertuduh, iaitu Yon Hay dan Mok, masing-masing diwakili peguam Tan Choon Hong dan V. Ayasamy. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video