Skip to main content

Malaysia

Kes kematian jemaah Malaysia di Tanah Suci diurus dengan teliti

Credit Astro AWANI - Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz), Salasiah Masron
Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz), Salasiah Masron menyifatkan pengalaman pertama bertugas di bumi Mekah sebagai satu tanggungjawab penuh cabaran serta emosi. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Setiap musim haji bukan sahaja sarat dengan kisah ibadah dan pengorbanan, malah menuntut pengurusan yang teliti apabila melibatkan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Bagi musim Haji 1447 Hijrah, amanah besar itu digalas Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz), Salasiah Masron, yang menyifatkan pengalaman pertama bertugas di bumi Mekah sebagai satu tanggungjawab penuh cabaran serta emosi.

Menurut Salasiah, peranan Pendaftar Hedjaz dilaksanakan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas) 1975 [Akta 152], merangkumi penerimaan laporan serta pendaftaran kes kelahiran dan kematian dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Kami menerima laporan kematian di Tanah Suci, mendaftarkannya serta merekod setiap butiran penting sebelum disalurkan kepada Ibu Pejabat JPN di Malaysia.

“Melalui sistem integrasi antara Sistem Tabung Haji dan Sistem Kematian Hedjaz JPN, maklumat dari sini dapat diterima secara terus oleh JPN di tanah air,” katanya ketika ditemui media di sini.

Salasiah menjelaskan, kemudahan sistem bersepadu itu membolehkan sijil kematian dikeluarkan di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara sebaik sahaja maklumat lengkap diterima.

Menurutnya, proses tersebut jauh lebih pantas berbanding sebelum tahun 2013 yang ketika itu bergantung sepenuhnya kepada kaedah manual, termasuk pengimbasan dan penghantaran dokumen melalui e-mel.

“Dahulu prosesnya agak lambat kerana semuanya manual. Kini, dokumen yang diimbas hanya sebagai sokongan kerana sistem sudah berintegrasi sepenuhnya,” jelasnya.

Image
Credit Astro AWANI - Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz), Salasiah Masron
Salasiah menjelaskan, kemudahan sistem bersepadu membolehkan sijil kematian dikeluarkan di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara sebaik sahaja maklumat lengkap diterima. - Foto Astro AWANI

Sepanjang musim haji, dua pegawai JPN ditempatkan di Tanah Suci iaitu di Madinah dan Mekah bagi memastikan setiap urusan berkaitan berjalan lancar.

“Kerjasama pihak maktab serta Unit Perhubungan Hospital Tabung Haji sangat membantu kerana dokumen yang diterima kebiasaannya telah lengkap bersama sokongan diperlukan.

“Waris di Malaysia tidak perlu bimbang kerana kebajikan jemaah haji sentiasa diberi perhatian rapi oleh pihak Tabung Haji,” katanya.

Dalam masa sama, JPN turut memperkenalkan pendekatan lebih prihatin dengan menyantuni waris jemaah yang meninggal dunia melalui penyediaan sesi temu janji khas di pejabat JPN bagi proses penyerahan sijil kematian.

Selain itu, Salasiah turut menjelaskan perbezaan ketara dalam pengurusan kes kematian antara musim haji dan di luar musim.

Menurutnya, sepanjang musim haji terdapat petugas khas Pendaftar Hedjaz di Tanah Suci yang mempercepatkan proses, manakala bagi jemaah umrah, urusan kematian perlu dikendalikan melalui pihak konsulat dan mengambil tempoh lebih lama.

Mengimbas pengalaman peribadinya, Salasiah mengakui kes kematian pertama yang dikendalikan memberi kesan emosi mendalam.

“Saya terkejut kerana beberapa hari sebelum itu, saya baru menghantar borang daftar kematian ke maktab sebagai persediaan. Tidak lama kemudian, saya menerima berita kematian tersebut.

“Namun, saya kembali kepada hakikat qada dan qadar. Apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT dan pengalaman itu mengajar saya untuk lebih tenang dalam mengendalikan kes seterusnya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement