KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengakui kes keganasan rumah tangga di negara ini menunjukkan peningkatan membimbangkan, sekali gus menuntut usaha lebih agresif dalam aspek perlindungan dan advokasi wanita.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sebanyak 5,507 kes direkodkan pada 2023, sebelum meningkat kepada 7,116 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025.
“Ini adalah kes yang dilaporkan, dan kita tahu masih banyak kes yang tidak dilaporkan atas pelbagai faktor termasuk ketakutan terhadap pelaku,” kata beliau pada sidang media khas mengenai keganasan rumah tangga, di sini, pada Rabu.
Menurut Nancy, keganasan rumah tangga merupakan jenayah serius dan setiap kes ditangani secara teliti, termasuk melalui siasatan menyeluruh sebelum sebarang maklumat didedahkan kepada umum.
Dalam usaha memperkukuh perlindungan, KPWKM, katanya, terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta menangani kelemahan sedia ada, di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita untuk tampil mendapatkan bantuan.
Nancy memaklumkan antara cabaran utama ketika ini ialah ketiadaan rekod khusus bagi pesalah berulang dalam kes keganasan rumah tangga, selain kekangan perundangan untuk mendedahkan maklumat tertentu kepada umum.
“Kita mahu bantu wanita, tetapi pada masa ini tiada rekod khusus untuk pesalah berulang yang boleh dikongsikan,” katanya lagi.
Nancy turut menegaskan bahawa kementerian tidak akan mengulas kes yang masih dalam prosiding mahkamah, namun memberi jaminan bahawa setiap laporan tetap diberi perhatian serius.
Seiring komitmen di bawah agenda Women, Peace and Security (WPS), KPWKM kini memberi fokus kepada pelaksanaan program berteraskan keselamatan fizikal bagi melindungi wanita, selain meneruskan advokasi serta pemerkasaan ekonomi.
Beliau berkata pendekatan perkongsian pengalaman oleh mangsa terdahulu terus diperkasakan bagi memberi kekuatan kepada mangsa baharu untuk tampil mendapatkan bantuan.
Namun, Nancy mengakui terdapat kes di mana mangsa menarik semula laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa atas faktor seperti ketakutan, ketiadaan tempat perlindungan, masalah pekerjaan dan kesukaran menjaga anak.
Sehubungan itu, beliau menggesa mangsa tidak teragak-agak mendapatkan bantuan, sambil menegaskan kerajaan menyediakan tempat perlindungan serta saluran sokongan termasuk talian 15999.
“Jangan takut untuk tampil. Kita ada tempat perlindungan dan saluran bantuan seperti 15999 untuk membantu mangsa.”
Tambah beliau, usaha memperkukuh mekanisme perlindungan wanita akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa sentiasa terjamin.