KOTA BHARU: Polis menegaskan bahawa jumlah tikaman pada tubuh mangsa kes bunuh penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly adalah sebanyak 61 kesan tikaman berdasarkan hasil bedah siasat dan bukan 105 seperti yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, jumlah tersebut tidak termasuk luka lain seperti kesan calar yang turut ditemui pada anggota tubuh mangsa.
“Jumlah sebenar berdasarkan hasil bedah siasat adalah 61 kesan tikaman sahaja, tidak termasuk luka calar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan yang tular di media sosial.
Sebelum ini, tular dakwaan bahawa terdapat keseluruhan 105 tikaman pada tubuh mangsa, namun angka tersebut tidak tepat berdasarkan kenyataan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan terhadap kesemua suspek sedang dijalankan.
“Setakat ini, empat tangkapan dibuat melibatkan dua remaja lelaki berusia 19 tahun dan sepasang warga emas. Siasatan masih berjalan dan kita meneliti kes ini dari pelbagai sudut,” katanya.
Beliau turut menegaskan agar orang ramai tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Sebelum ini, mayat Nurfisya, 19, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas jalan di Ketereh oleh penduduk pada jam 12.22 tengah malam, Jumaat.
Mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di kawasan tersebut. -Sinar Harian