Skip to main content

Malaysia

Kerangka tadbir urus AI negara siap dalam 12 bulan - Gobind

Gobind AI. Kredit: Awani
Gobind Singh Deo, berkata pembangunan kerangka itu penting bagi memastikan penggunaan teknologi AI di negara ini sentiasa selamat, beretika dan selari dengan perundangan, terutama ketika teknologi tersebut semakin mempengaruhi pelbagai sektor. - Foto Astro AWANI

CYBERJAYA: Kerajaan menyasarkan pelaksanaan kerangka tadbir urus kecerdasan buatan (AI) negara dalam tempoh 12 bulan sebagai langkah penting menuju aspirasi menjadikan Malaysia sebagai AI Nation menjelang 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pembangunan kerangka itu penting bagi memastikan penggunaan teknologi AI di negara ini sentiasa selamat, beretika dan selari dengan perundangan, terutama ketika teknologi tersebut semakin mempengaruhi pelbagai sektor.

“Proses ini akan mengambil masa. Apa yang diperlukan kini ialah pembinaan sebuah struktur yang dapat menghimpunkan semua pakar yang relevan. Kita juga perlu meneliti keperluan kerajaan termasuk jawatan serta kepakaran yang diperlukan untuk menjayakan projek ini. Selepas itu, kita harus menentukan ciri-ciri agensi yang mampu melaksanakan serta menguatkuasakan piawaian yang akan ditetapkan.

"Perkara ini memerlukan masa, namun seperti yang saya nyatakan, permulaannya bermula hari ini. Menjelang 2030, kita berharap institusi yang diperlukan bagi tujuan ini dapat dibangunkan sepenuhnya.

"Namun jika ditanya, saya percaya dalam tempoh 12 bulan akan datang, kita sudah dapat melihat satu struktur yang berfungsi dan mampu melaksanakan ketiga-tiga aspek iaitu pembentukan piawaian, pelaksanaan serta penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan MY-AI Standards di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, kerangka tersebut merangkumi tiga komponen utama, iaitu pembangunan piawaian, peraturan serta pematuhan, dan perundangan bersama penguatkuasaan.

Menurutnya, komponen pertama melibatkan pembangunan piawaian melalui penglibatan pakar bagi menetapkan standard AI mengikut sektor tertentu tanpa memerlukan perundangan khusus.

My-AI Standards merupakan platform digital nasional yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pembelajaran, kolaborasi dan sokongan pelaksanaan piawaian AI di Malaysia.

Platform itu dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia bersama Pejabat AI Nasional (NAIO), dengan sokongan Jabatan Standard Malaysia dan SIRIM Bhd.

Gobind berkata pembangunan piawaian tersebut turut mengambil kira keperluan tempatan, termasuk keselarasan dengan undang-undang negara, etika, budaya dan nilai masyarakat.

Pada masa sama, Malaysia turut meneliti piawaian yang dibangunkan negara lain, khususnya di rantau ASEAN, bagi mewujudkan kerangka piawaian yang serasi di peringkat serantau dan global.

Beliau berkata My-AI Standards turut menyokong Pelan Tindakan AI Malaysia 2026–2030, yang memfokuskan kepada mempercepat penggunaan AI dalam sektor strategik, membangunkan bakat AI negara dan memperkukuh tadbir urus teknologi secara bertanggungjawab.

Must Watch Video