Skip to main content

Malaysia

Kerajaan peruntuk RM28.8 juta untuk pembangunan industri halal - Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 17 April -- Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah bersama hos Dinnie Asyraf Salim ketika program Aspirasi Ekonomi bertajuk 'Krisis Tenaga Global : Ekonomi Teruji' di Wisma Bernama hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk projek dan program pembangunan industri halal kepada agensi berkaitan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah. - BERNAMA

KUANTAN: Sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk projek dan program pembangunan industri halal kepada agensi berkaitan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah. 

Beliau berkata peruntukan tahun ini disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Halal Development Corporation (HDC).

Katanya antara projek dan program diluluskan adalah yang menumpukan pembangunan inovasi dan teknologi halal, program pemudah cara pensijilan halal dan program pengukuhan integriti halal seperti pembangunan sistem My e-Halal JAKIM. 

“Melalui peruntukan serta sokongan pembiayaan yang diberikan, penggiat halal diharapkan dapat membangunkan kapasiti perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri halal negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Pantai Timur Antarabangsa Pahang (PIECES) bersempena Ekspo Perdagangan dan Keusahawanan Pantai Timur Malaysia 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau ketika ditemui Bernama berkata Pahang mempunyai potensi luas dalam memperkasa industri halal berikutan mempunyai kelebihan dari segi kedudukan yang strategik dan kemudahan logistik.

Justeru, beliau berharap pemain industri bersedia dan memanfaatkan infrastruktur logistik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi tahun depan. 

“Kemudahan sudah ada dan industri mesti dibangunkan secepat mungkin. Kementerian Ekonomi melihat Pahang sudah ada kekuatan namun kita perlu ada sinergi, jangan bekerja secara bersendirian. 

“Selain itu, kita mesti guna peluang yang ada dan paling penting kena agresif. Jangan biarkan ruang yang ada ini tidak dimanfaatkan oleh anak-anak dan usahawan tempatan,” katanya

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video