ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi amaran pada Sabtu bahawa "sebarang pelanggaran komitmen" oleh Amerika Syarikat (AS) akan menerima "tindak balas yang sewajarnya," lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Selagi trafik kapal dari dan ke Iran kekal di bawah ancaman, status Selat Hormuz tidak akan berubah," menurut hantaran markas tentera laut IRGC di platform X.
Amaran itu menyusuli kenyataan markas bersama IRGC pada awal hari yang sama yang menyatakan bahawa selat berkenaan telah kembali ke "status asal" di bawah kawalan angkatan tentera Iran, dengan alasan sekatan berterusan AS terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.
Pada Jumaat, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengisytiharkan selat itu "terbuka sepenuhnya" untuk semua kapal komersial.
Keputusan itu dibuat "selaras dengan gencatan senjata di Lubnan," katanya menerusi hantaran di X.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, dan Tehran bertindak balas dengan serangan ke atas Israel serta negara serantau lain yang menempatkan aset-aset AS.
Peperangan berkenaan telah ditangguhkan sejak 8 April lepas, selepas Pakistan menjadi perantara bagi gencatan senjata selama dua minggu.
Washington dan Tehran telah mengadakan rundingan di Pakistan pada hujung minggu lepas ke arah mencapai perdamaian yang berkekalan, dan usaha untuk mengadakan satu lagi sesi rundingan di Islamabad sedang dijalankan.
-- BERNAMA-ANADOLU