Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkukuh ekosistem pekerja gig melalui latihan dan perlindungan sosial

PERKUKUH PEKERJA GIG
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan hampir 1,000 pemandu dan penghantar Grab dari kawasan Parlimen Sungai Buloh di Pasar Raya Central Mart, Subang Bestari, hari ini. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh ekosistem pekerja gig menerusi pelbagai inisiatif baharu yang memberi fokus kepada perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, antara usaha dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) bernilai RM20 juta bagi meningkatkan daya tahan ekonomi pekerja gig.

“Pembangunan sektor gig perlu digerakkan secara bersama oleh kerajaan, syarikat penyedia platform dan pekerja sendiri agar ekosistem pekerjaan yang diwujudkan lebih stabil, inklusif dan mampan untuk jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Grab di Sungai Buloh, hari ini.

Selain itu, Program AI MyMahir dengan peruntukan RM110 juta turut diperkenalkan bagi memberi pendedahan kepada kemahiran teknologi dan kecerdasan buatan (AI), khususnya kepada pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Menurut Ramanan, pekerja gig juga berpeluang mengikuti latihan teknikal menerusi ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM) serta memanfaatkan platform MYFutureJobs oleh PERKESO bagi membuka peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah portal e-aduan pekerja gig turut diwujudkan bagi memudahkan akses kepada maklumat berkaitan hak pekerjaan, perlindungan sosial serta saluran aduan secara lebih sistematik.

Pada majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada Rakan Grab sebagai tanda penghormatan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam membantu melancarkan urusan harian masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement