Skip to main content

Dunia

AS sedia adakan rundingan nuklear kemudian jika Iran buka semula Selat Hormuz - Rubio

Secretary of State Marco Rubio speaks to the press before boarding his plane at Homestead Air Reserve Base, Thursday, May 21, 2026. Rubio is traveling to a NATO foreign ministers meeting in Sweden. Julia Demaree Nikhinson/Pool via REUTERS
Rubio turut membayangkan AS boleh memperbaharui ancaman untuk menyerang Iran jika rundingan tidak membuahkan hasil dalam tempoh dua bulan. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berkata, AS bersedia mengadakan rundingan mengenai program nuklear Iran jika Tehran membuka semula Selat Hormuz, lapor Xinhua memetik The New York Times pada Ahad.

Kenyataan itu membayangkan Washington mungkin mengambil pendekatan berfasa dan menerima perjanjian sementara yang tidak segera menangani program nuklear Iran, menurut laporan itu.

“Anda tidak boleh menyelesaikan isu nuklear dalam tempoh 72 jam secara tergesa-gesa,” kata Rubio kepada akhbar itu dalam temu bual ringkas ketika lawatannya ke New Delhi.

“Selat itu perlu dibuka semula dengan segera dan kemudian kami akan memulakan, berdasarkan parameter yang dipersetujui, rundingan sangat serius mengenai pengayaan, uranium sangat diperkaya dan ikrar mereka untuk tidak memiliki senjata nuklear,” kata Rubio.

“Ia tidak boleh mengambil masa bertahun-tahun, tetapi ia memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan perkara teknikal itu,” kata Rubio.

Setiausaha Negara itu membayangkan AS boleh memperbaharui ancaman untuk menyerang Iran jika rundingan tidak membuahkan hasil dalam tempoh dua bulan.

“Akhirnya, pendekatan itu perlu memberikan hasil seperti yang kami mahukan.

“Jika tidak, presiden mempunyai semua pilihan yang tersedia kepadanya dalam tempoh 60 hari, seperti pilihan yang tersedia kepadanya sekarang,” kata beliau.

AS mahupun Iran belum mendedahkan butiran secara terbuka. 

Ramai pengkritik berkata perjanjian berfasa sedemikian boleh mengurangkan pengaruh Presiden AS Donald Trump dalam rundingan lanjut.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement