Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pantau penipuan tawaran badal haji - Zulkifli

PUTRAJAYA, 9 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada pemberita semasa hadir menunaikan Solat Maghrib, Solat Hajat serta menyertai bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali, sebelum disusuli dengan Solat Isyak dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Putra malam ini._BERNAMA
Zulkifli berkata tindakan pemantauan dibuat secara berterusan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menjadi mangsa penipuan terutama pada saat akhir musim haji. - Gambar fail/Bernama

BACHOK: Kerajaan akan terus memantau sebarang tawaran mencurigakan berkaitan perkhidmatan badal haji, khususnya menerusi media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata tindakan itu dibuat secara berterusan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menjadi mangsa penipuan terutama pada saat akhir musim haji.

“Setakat ini, kita belum menerima aduan penipuan badal haji. Namun, Tabung Haji memantau bukan sahaja aktiviti di media sosial malah menjalankan pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa merujuk kepada pihak berwajib bagi mengesahkan sebarang tawaran atau maklumat sekali gus mengelakkan kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kampung Telong di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Mustakim Mohamad.

Terdahulu, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji yang meragukan, khususnya yang ditawarkan pada harga terlalu rendah berbanding kos sebenar.

Beliau berkata kos menunaikan ibadah haji adalah tinggi, justeru tawaran yang tidak munasabah dikhuatiri tidak memenuhi rukun dan wajib haji yang ditetapkan.

Projek pemerkasaan itu disertai 30 wanita daripada Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan bagi meningkatkan daya saing dan membantu mereka menjana pendapatan melalui penghasilan serta pemasaran produk masing-masing.

-- BERNAMA

Must Watch Video