Skip to main content

Malaysia

Kerajaan mungkin susun semula perbelanjaan negara - Akmal

JOHOR BAHRU, 30 Mei -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru 2026 di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Akmal Nasrullah berkata, pertimbangan itu terpaksa dibuat berikutan krisis tersebut memberi tekanan kepada sasaran defisit fiskal bagi tahun ini. - Foto fail/BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan penyesuaian dasar perbelanjaan negara secara bertanggungjawab memandangkan beban tanggungan subsidi bahan api kini mencecah RM5 bilion sebulan susulan krisis tenaga global akibat sekatan di Selat Hormuz.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertimbangan itu terpaksa dibuat berikutan krisis tersebut memberi tekanan kepada sasaran defisit fiskal bagi tahun ini.

Menurutnya, situasi itu juga memaksa kerajaan menyemak semula peruntukan subsidi bahan api dan melaksanakan rasionalisasi perbelanjaan mengurus bagi mengelak defisit melebar melebihi sasaran ditetapkan.

"Kerajaan sedang mempercepatkan peralihan kepada mekanisme subsidi bersasar yang lebih cekap. Langkah ini penting bagi memastikan dana awam digunakan secara optimum sekali gus mengurangkan beban kewangan negara akibat lonjakan harga minyak mentah dunia.

"Walau bagaimanapun, penyusunan semula ini akan dilakukan secara berhati-hati, bersasar agar tidak menjejaskan momentum ekonomi domestik negara.

"Pendekatan strategik ini amat penting dalam memperkukuh ruang fiskal negara serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping meningkatkan daya tahan ekonomi negara untuk menghadapi ketidaktentuan dan tekanan ekonomi global yang semakin mencabar," katanya.

Menurut Akmal Nasrullah, kerajaan dalam masa sama sentiasa menilai semula keutamaan perbelanjaan negara berdasarkan beberapa faktor.

"Ia termasuk, kedudukan fiskal semasa, perkembangan ekonomi global dan domestik serta keperluan rakyat yang semakin dinamik bagi memastikan penggunaan sumber kewangan negara secara optimum dan berimpak tinggi.

"Dalam hal ini, hala tuju fiskal negara turut memberi penekanan kepada pengukuhan ruang fiskal, pengurusan perbelanjaan secara berhemat serta memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.

Artikel Berkaitan:
Kenaikan harga baja, diesel ancam kos makanan rakyat
Kenaikan harga diesel dan input: Apa yang Abang Mad perlu buat?
Pakar beri amaran ekonomi masuki zon bahaya
Peranan BERNAS tidak disedari rakyat
"Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dunia, tekanan inflasi, konflik geopolitik serta peningkatan kos pelaksanaan projek, pendekatan penyusunan semula atau reprioritisation perbelanjaan adalah penting bagi memastikan sumber kewangan negara dapat disalurkan kepada program dan projek yang benar-benar kritikal serta memberi impak tinggi kepada rakyat dan ekonomi negara," katanya.

Projek, program impak tinggi

Beliau berkata, keutamaan perbelanjaan akan terus diberikan kepada projek dan program yang memberi impak tinggi kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan negara.


Ujarnya, ia merangkumi kemudahan asas, infrastruktur kritikal, kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, tebatan banjir, pengangkutan awam dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan fizikal dan infrastruktur yang mempunyai impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada projek yang mempunyai tahap kesiapsiagaan pelaksanaan yang tinggi, boleh dilaksanakan dalam tempoh segera, bersifat people-centric serta mampu merangsang aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh," kata beliau.

Sementara itu, ditanya mengenai sektor paling terkesan akibat krisis berkenaan, Akmal Nasullah berkata, terdapat tiga industri paling mendapat impak tinggi iaitu pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Ini kerana katanya, kos input pengeluaran dalam sektor pertanian telah meningkat melibatkan kenaikan harga baja dan makanan ternakan, sekali gus dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan negara, sekiranya krisis bekalan global berterusan.

"Selain itu, penutupan Selat Hormuz dijangka menjejaskan sektor pembuatan negara berikutan gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan kekurangan bahan mentah.

"Situasi ini diburukkan lagi oleh peningkatan ketara kos logistik dan insurans, apabila kos pengangkutan dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda, manakala premium insurans bagi satu perjalanan melonjak sehingga 16 kali ganda susulan konflik tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian terkini Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan kos operasi yang mendadak akibat krisis tenaga dan gangguan rantaian bekalan global.

Menjawab pertanyaan mengenai usaha kerajaan untuk mendapatkan bekalan tenaga jika krisis ini terus berpanjangan, Akmal Nasullah berkata, kerajaan terus memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara selaras dengan perkembangan situasi semasa dan ketidaktentuan geopolitik global.

"Dalam aspek jaminan bekalan petroleum, Petronas telah mengaktifkan strategi kepelbagaian sumber dengan memperoleh bekalan minyak mentah dan produk petroleum daripada pelbagai rantau, termasuk Amerika Selatan, Afrika Barat serta negara Asia Tengah seperti Turkmenistan dan Uzbekistan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan strategik Selat Hormuz.

"Pendekatan ini turut diperkukuh melalui rundingan Government to Government (G2G) secara langsung, termasuk dengan Australia bagi pembekalan fosfat dan baja, serta dengan China bagi resin dan nafta untuk menyokong industri peranti perubatan negara," katanya.

Kebimbangan rakyat

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah mengakui kerajaan memahami bahawa ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik semasa menimbulkan kebimbangan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa memantau situasi secara dekat dan bersedia mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan ekonomi negara kekal stabil.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara ujarnya, kerajaan telah melaksanakan pemantauan harian menerusi Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global yang memantau penunjuk penting seperti harga minyak mentah Brent, LNG, kadar pertukaran mata wang serta perkembangan rantaian bekalan antarabangsa supaya tindakan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersasar. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement