PUTRAJAYA: Pelaksanaan penggunaan biodiesel B15 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi serta tidak menjejaskan sistem sedia ada.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu penting memandangkan pelaksanaannya melibatkan penyelarasan operasi di pusat-pusat adunan bahan api di seluruh negara.
"Pelaksanaannya perlu dilakukan secara progresif atau berperingkat bagi memastikan operasi sedia ada tidak terganggu. Ini kerana sebarang perubahan dari aspek operasi perlu diteliti dengan rapi.
"Sehubungan itu, hasrat kerajaan untuk meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 telah dipersetujui dari segi dasarnya.
"Ketika ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti dengan lebih lanjut komitmen serta kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek ladang cili Inisiatif Pendapatan Rakyat- Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Presint 9, Putrajaya pada Jumaat.
Menurut beliau, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meningkatkan penggunaan biodiesel daripada B10 kepada B15, namun pelaksanaan tersebut perlu mengambil kira tahap kesiapsiagaan keseluruhan rantaian industri.
Katanya, peningkatan ke tahap lebih tinggi seperti B20 atau B30 pula memerlukan pelaburan tambahan bagi menaik taraf infrastruktur adunan sedia ada.
“Sekiranya kita mahu beralih ke tahap campuran yang lebih tinggi seperti B20 atau B30, pelaburan bagi menaik taraf infrastruktur adunan perlu dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata, penilaian terhadap fasiliti berkaitan akan diteruskan, termasuk lawatan ke salah satu kemudahan di Pelabuhan Klang esok bagi menilai tahap kesiapsiagaan penghasilan biodiesel.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun kajian dan ujian bagi penggunaan biodiesel B100 telah dijalankan, penggunaan secara meluas masih memerlukan penelitian lanjut, khususnya dari aspek logistik, infrastruktur dan penerimaan pengguna.
Sementara itu, Akmal turut memaklumkan akan mengadakan lawatan bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad ke sebuah fasiliti di Pelabuhan Klang esok bagi menilai kesiapsiagaan penghasilan biodiesel.
Fasiliti berkenaan difahamkan milik KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd, syarikat pengilangan oleokimia di bawah Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Berhad.