Skip to main content

Malaysia

Kerajaan beri jaminan tiada isu berkaitan kesesuaian penggunaan biodiesel

PELABUHAN KLANG, 18 April -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika sidang media selepas lawatan kerja di KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd Pulau Indah, hari ini._BERNAMA
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan. - Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu mengenai kesesuaian penggunaan biodiesel khususnya B20 susulan spesifikasi enjin kenderaan menyokong bahan api itu sejak 2020.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.

“Sebenarnya ada beberapa kawasan dalam negara telah menggunakan B20 iaitu sebagai contoh di Pulau Langkawi, Kedah; Labuan dan Sarawak kecuali di kawasan Bintulu. Ini bermaksud dalam tempoh yang sedang berlaku ini aduan ataupun kebimbangan itu sebenarnya belum sampai ke tahap ada kes yang kita boleh jadikan satu rujukan.

“Kerajaan telah mandatkan pada 2020 mengenai penggunaan enjin atau kenderaan pada tahap B20 bermaksud tempoh itu telah diberikan secukupnya kepada pihak industri termasuk kenderaan untuk membuat persiapan,” katanya ketika ditanya mengenai kesesuaian penggunaan bahan api berkenaan ke dalam kenderaan. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang oleokimia KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di sini hari ini. 

Sebelum ini, Akmal Nasrullah mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat. 

Beliau berkata langkah tersebut bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih lama selain mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar serta menekankan bahawa penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) perlu dipercepat.

Dalam pada itu, Noraini berkata menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sebanyak RM42 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf empat depoh penapisan minyak sawit sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan sumber tenaga negara. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video