KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah yang memerintahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar pampasan RM824,180 kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat pokok tumbang memberi isyarat jelas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai kepentingan mengutamakan keselamatan awam.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata keputusan itu penting kerana menggariskan tanggungjawab menjaga keselamatan yang perlu dipikul PBT dalam memastikan kemudahan dan infrastruktur awam di bawah bidang kuasa mereka diselenggara dengan baik setiap masa.
Beliau berkata tragedi itu, yang bukan pertama seumpamanya, menonjolkan isu kritikal berhubung usaha penyelenggaraan yang konsisten di kawasan bandar.
“Walaupun menanam pokok dan mencantikkan bandar inisiatif yang terpuji, usaha itu mesti seiring dengan pemeriksaan yang konsisten, penilaian risiko dan penyelenggaraan tepat pada masa.
“Tanpa penjagaan sewajarnya, pokok di tepi jalan, terutamanya yang sudah tua atau lemah boleh menjadi bahaya serius, khususnya semasa ribut, hujan lebat atau angin kencang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee menekankan tanggungjawab PBT melangkaui pengurusan pokok dan termasuk penjagaan lubang jalan, laluan pejalan kaki yang rosak, lampu jalan yang tidak berfungsi, struktur tidak stabil dan kemudahan awam lain.
Beliau berkata sebarang kecuaian dalam penyelenggaraan boleh mendedahkan orang ramai kepada bahaya yang tidak perlu dan membawa kepada kecederaan atau kehilangan nyawa yang boleh dicegah.
Sehubungan dengan itu, Lee menggesa PBT mengguna pakai pendekatan yang lebih proaktif terhadap pengurusan risiko.
Antara saranan beliau ialah menjalankan penilaian kesihatan dan struktur pokok secara berkala, mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di sepanjang jalan sibuk dan melaksanakan cantasan pencegahan atau membuang pokok berbahaya.
Beliau juga menyeru penubuhan pasukan tindak balas pantas semasa keadaan cuaca ekstrem dan pengukuhan mekanisme akauntabiliti melalui rekod penyelenggaraan yang betul.
“Keputusan itu juga menghantar mesej jelas, iaitu apabila kecuaian membawa kepada kemudaratan, pihak yang terjejas mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui mahkamah.
“Jadikan keputusan ini sebagai peringatan keras kepada semua majlis tempatan di seluruh negara untuk menyemak semula sistem penyelenggaraan, mengukuhkan penguatkuasaan dan mengutamakan keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata pencegahan mesti sentiasa menjadi keutamaan berbanding pampasan kerana tiada jumlah wang yang dapat menggantikan kehilangan nyawa.
Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi berjumlah RM824,180 kepada Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selepas anak mereka Phun Mun Lap, 30, maut akibat pokok tumbang di pembahagi jalan yang diselenggara oleh DBKL.
Kejadian berlaku semasa mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren menunggang motosikal untuk ke tempat kerja pada 22 Mac 2023 menyebabkannya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 24 Mac 2023.
-- BERNAMA