Skip to main content

Dunia

Gunung Semeru di Indonesia meletus, orang ramai digesa jauhi kawasan berisiko

71703595507_gunungsemeru.jpg
Gunung berapi itu meletus sebanyak tiga kali pada pagi Ahad dengan memuntahkan awan mengandungi abu setinggi 700 meter dari puncaknya. - Gambar fail

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan berisiko tinggi di sekitar Gunung Semeru selepas gunung berapi itu meletus beberapa kali sepanjang hujung minggu.

Gunung berapi itu meletus sebanyak tiga kali pada pagi Ahad dengan memuntahkan awan mengandungi abu setinggi 700 meter dari puncaknya.

Pada Sabtu, ia meletus dua kali dalam tempoh kira-kira 90 minit, dengan awan mengandungi abu tertinggi mencecah sehingga 1,000 meter ke udara, menurut agensi berita Antara yang memetik Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG).

Gunung Semeru kekal pada Status Tahap III (Siaga), menurut PVMBG.

Ia turut menggesa orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam lingkungan 13 kilometer di bahagian tenggara puncak Gunung Semeru sepanjang Besuk Kobokan, alur sungai yang terdedah kepada aliran lava dan awan panas.

Penduduk serta pengunjung juga dilarang menjalankan aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah berikutan risiko lontaran batu pijar.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video