Skip to main content

Politik

Spekulasi DUN Khas: PH bersedia hadapi PRN Johor

JOHOR BAHRU, 17 Mei -- Menteri Komunikasi yang juga Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi bercakap kepada pemberita pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. - Foto/ Bernama

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bila-bila masa susulan spekulasi sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 24 Jun ini yang dikaitkan dengan kemungkinan pembubaran DUN.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan politik di negeri ini.

Menurut beliau, PH Johor dan BN Johor juga telah menyatakan pendirian masing-masing berhubung hala tuju politik negeri berkenaan.

“Kita tunggu dan dengar pandangan daripada pimpinan utama (Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada petang nanti.

“Mungkin, mungkin (ada rundingan PH-BN). Selepas 24 Jun, kita akan bersedia. Pakatan Harapan bersedia untuk apa-apa kemungkinan (PRN Johor),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, sini pada Ahad.

Situasi politik Johor ketika ini semakin panas selepas Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16 akan datang.

Susulan pengumumkan yang dikeluarkan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, PH Johor menegaskan akan menentang habis-habisan keputusan tersebut.

Terdahulu, PH Johor dilaporkan menegaskan keputusan BN Johor untuk bergerak solo menunjukkan pintu kerjasama politik di peringkat negeri sudah tertutup dan gabungan itu bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.

Pada Sabtu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor mengumumkan BN akan bertanding semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2018, Pakatan Harapan (PH) mencatatkan kemenangan bersejarah dengan memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemenangan ini membolehkan PH membentuk kerajaan negeri Johor buat kali pertama, sekali gus menumbangkan penguasaan Barisan Nasional (BN).

Manakala pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video