Skip to main content

Malaysia

Kelab Rakan Muda diaktifkan semula di setiap Parlimen - Mohammed Taufiq

SUNGAI PETANI, 14 Feb -- Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Kedah pada Majlis Perasmian Kalendar Mega Rakan Muda 2026 dan Program Jelajah Rakan Muda di sini hari ini.  Turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu (empat, kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohammed Taufiq menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil MAYC Negeri Kedah pada Majlis Perasmian Kalendar Mega Rakan Muda 2026 dan Program Jelajah Rakan Muda di Sungai Petani, 14 Feb 2026. --fotoBERNAMA

SUNGAI PETANI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengaktifkan semula pergerakan Kelab Rakan Muda di setiap Parlimen di seluruh negara, kata Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata insentif berjumlah RM1.11 juta diperuntukkan untuk permulaan bagi memperkasakan program-program di bawah Rakan Muda.

"Untuk mengaktifkan Kelab Rakan Muda ini, kita memberikan insentif sebanyak RM5,000 untuk permulaan bagi memperkasakan program-program di bawah Kelab Rakan Muda dan ini melibatkan RM1.11 juta secara keseluruhannya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Jelajah Rakan Muda dan Peluncuran Kalendar Mega Rakan Muda bertemakan "1 Bulan 1 Gaya Hidup Rakan Muda" di Taman Batik dekat sini semalam.

Mohammed Taufiq berkata Kelab Rakan Muda merupakan platform yang sangat penting untuk membentuk masa depan negara menerusi penyediaan anak muda yang lengkap dengan sahsiah, jati diri serta ilmu

"Terdapat 222 kelab di seluruh negara, dengan setiap kawasan Parlimen ada satu kelab. Saya harap mereka akan bergiat aktif dan boleh memohon dana yang disediakan oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, katanya pelaksanaan program Kalendar Mega Rakan Muda akan diadakan pada setiap bulan di lokasi berbeza, bersesuaian dengan gaya hidup di setiap lokasi penganjurannya.

"Setiap bulan kita akan pilih satu gaya hidup daripada 10 gaya hidup di bawah Program Rakan Muda, untuk kita laksanakan program, yang paling terdekat adalah Rakan Ekspresi dan Rakan Muda Ramadan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video