KUALA LUMPUR: Demokrasi sentiasa sarat dengan kekecohan namun media sosial jauh lebih kecoh. Dilihat dari hampir setiap sudut, seseorang mungkin beranggapan bahawa Malaysia sedang berdepan krisis berpanjangan, bahkan boleh dikatakan negara yang gagal jika media sosial menjadi satu-satunya lensa untuk menilai keadaannya.
Menelurusi hantaran, komen serta video tular yang tidak berkesudahan, gambaran yang dipaparkan kelihatan suram, iaitu terdapat kekecohan dari segi politik, kaum dan agama manakala negara seolah-olah berada di ambang kemusnahan.
Naratif ini diulang begitu kerap sehingga ramai mula menerimanya sebagai kebenaran. Kempen itu menjadi semakin agresif kerana para aktor politik beranggapan bahawa pilihan raya umum semakin hampir.
Di sebalik kekecohan dalam ruang digital, Malaysia hari ini menikmati kestabilan politik yang tinggi, sesuatu yang sudah lama pudar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Rakyat Malaysia cenderung memandang enteng isu kestabilan politik. Kita lupa bahawa negara telah kehilangan masa yang amat berharga apabil menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri (PM) dalam tempoh satu penggal antara 2018 dan 2022.
Sama ada menyukai Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebaliknya, kita tidak dapat menafikan bahawa beliau telah menyumbang kepada kestabilan dalam landskap politik negara.
Para pelabur, sama ada dari dalam mahupun luar negara, cenderung menghargai kebolehramalan manakala kestabilan politik telah membantu memulihkan keyakinan mereka terhadap hala tuju ekonomi Malaysia.
Komuniti antarabangsa kini lebih menghormati Malaysia, dengan Anwar memainkan peranan penting di pentas global.
Abaikan seketika isu politik, dan mari kita menilai berdasarkan data. Malaysia telah mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi dalam sejarah, iaitu sebanyak RM426.7 bilion pada 2025, menandakan peningkatan 11 peratus berbanding 2024, dan dijangka mewujudkan lebih 244,000 peluang pekerjaan baharu.
Johor pula mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion pada 2025, jumlah tertinggi pernah direkodkan bagi sebuah negeri tunggal dalam sejarah Malaysia.
Prestasi cemerlang ini menyumbang sebanyak 25.77 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia bagi tahun tersebut.
Syarikat-syarikat multinasional terkemuka terus menjadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi pembuatan berteknologi tinggi, pusat data dan rantaian bekalan teknologi.
Daripada sektor elektronik hinggalah teknologi hijau, negara kini terlibat secara aktif dalam industri-industri yang dijangka menjadi penentu bagi fasa pertumbuhan global seterusnya.
Tiada pelabur serius yang sanggup melaburkan wang berbilion-bilion di Malaysia sekiranya negara terus diganggu-gugat oleh ketidakstabilan politik, pertukaran PM dan dasar yang berubah-ubah.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia mencecah USD128.3 bilion setakat 27 Feb 2026, paras tertinggi sejak Ogos 2014. Disokong oleh pengukuhan mata wang dan pengumpulan emas, rizab negara meningkat untuk bulan ke-11 berturut-turut.
Kesemua rizab ini bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan daya tahan ekonomi sekali gus memberikan negara keupayaan mendepani ketidaktentuan global dan kejutan dari segi kewangan.
Ringgit mencatat prestasi terbaik di Asia pada awal 2026, didorong oleh asas ekonomi yang kukuh, peningkatan pelaburan asing dan pengurangan perbezaan kadar faedah berbanding Amerika Syarikat.
Ringgit, yang sebelum ini kerap menjadi sasaran komen pencemas di media sosial, kini telah mengukuh berbanding mata wang utama.
Bahkan pengkritik PMX juga akan bersetuju bahawa pengukuhan ringgit mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap asas ekonomi negara dan hala tuju dasar kerajaan.
Kadar pengangguran negara telah mencapai paras terendah dalam tempoh hampir sedekad, iaitu 3.1 peratus setakat Disember 2024, mencerminkan pasaran buruh yang stabil dan semakin kukuh. Kadar ini kekal rendah secara konsisten antara 3.1 dan 3.3 peratus sepanjang penghujung 2024 hingga awal 2026.
Kadar inflasi Malaysia pada 2026 dijangka kekal stabil sekitar dua peratus namun konflik di rantau Asia Barat dan kenaikan harga minyak dijangka memberi kesan terhadap inflasi negara serta kos petrol selaras dengan tren global.
Angka-angka ini tidak menyokong naratif bahawa PM menjalankan tugas dengan buruk. Keadaan ini memerlukan usaha yang besar dan berterusan untuk dicapai.
“Masalah dalam ruang digital bukan semata-mata wujudnya kritikan, dan kritikan penting dalam mana-mana demokrasi yang sihat. Masalah timbul apabila 'kemarahan' mendominasi interaksi.
“Algoritma memberi ganjaran kepada kemarahan, sikap keterlaluan dan sensasi. Nuansa jarang tular,’’ menurut satu laporan.
Malangnya, analisis berasaskan data jarang menjadi bahan tular di media sosial. Rakyat Malaysia tidak memiliki kesabaran untuk meneliti analisis yang mendalam dan menilai secara kritikal.
Data ekonomi jarang menarik perhatian berbanding dakwaan dramatik kononnya negara berada di ambang kemusnahan. Dari masa ke masa, keadaan ini menghasilkan persepsi yang terpesong. Suara-suara paling lantang dalam talian boleh menimbulkan kesan seolah-olah negara sentiasa gagal meskipun bukti menunjukkan sebaliknya.
Kebanyakan kita nampaknya terkesan dengan beberapa pelampau agama yang berusaha tanpa henti untuk menimbulkan kebencian berhubung isu Kuil Hindu melalui tindakan dan hantaran provokatif mereka yang berterusan.
Mereka mungkin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara pada era Tun Dr Mahathir Mohamad namun undang-undang drakonian seperti itu telah dimansuhkan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kini menjadi tumpuan ketika kita menantikan laporan hasil siasatan dalaman terhadap beliau.
Beliau disiasat berhubung penglibatan dalam pasaran saham termasuk sama ada telah melebihi had dibenarkan sebagai penjawat awam dan sama ada beliau mendapat kelulusan yang diperlukan, bukan atas dakwaan rasuah.
Azam mungkin bukan figura popular dan ramai yang mempersoalkan pendirian serta kaedah kerja beliau namun belum pernah berlaku dalam sejarah negara begitu ramai personaliti besar ditahan dan disiasat. Tugas beliau ialah mengesyorkan kepada Peguam Negara bagi tindakan mahkamah sebaik sahaja SPRM melengkapkan siasatan mereka.
Sudah tentu, tidak semua perkara berada dalam keadaan baik-baik sahaja di Malaysia. Isu seperti jurang pendapatan, cabaran tadbir urus, kelewatan pembaharuan dan kenaikan kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama bagi ramai rakyat Malaysia.
Isu-isu ini wajar dibincangkan secara jujur dan diberi perhatian dari segi dasar namun cabaran sesebuah negara harus dibahaskan seiring dengan pencapaian serta kekuatannya.
Sentiasa menonjolkan imej kegagalan tidak banyak membantu Malaysia. Sebaliknya, ia berisiko menghakis keyakinan dalam kalangan rakyat dan pelabur sekali gus mewujudkan kitaran pesimisme yang bersifat kendiri.
“Kisah Malaysia hari ini bukanlah tentang kesempurnaan, tetapi ia juga bukan cerita tentang negara diambang kemusnahan. Ia mengisahkan sebuah negara yang secara beransur-ansur kembali memperoleh kestabilan, menarik pelaburan dan mengukuhkan asas ekonominya,” kata seorang penganalisis.
PMX baru sahaja memegang jawatan selama tiga tahun. Kita masih bergelut dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setakat akhir 2025, Malaysia telah membayar sebanyak RM42.17 bilion bagi menampung hutang dan faedah bagi 1MDB.
Beban hutang itu amat besar dengan baki tertunggak sekitar RM9.02 bilion, serta tarikh matang akhir bagi pembayaran prinsipal dijangka pada 2039, menurut laporan, dan kesemuanya dibiayai daripada belanjawan persekutuan.
Kesimpulannya, kita perlu melontarkan satu soalan mudah: haruskah kita membenarkan suara-suara paling lantang yang sarat dengan kepentingan politik menentukan naratif negara di media sosial, atau patutkah kita menghakimi negara berdasarkan fakta dan bukti, bukan semata-mata emosi serta prejudis?
* Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Tokoh Wartawan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).