BUDAPEST: Seorang mangsa dilaporkan maut manakala lapan lagi cedera dalam insiden letupan di kilang petrokimia milik kumpulan minyak dan gas Hungary, MOL, di Tiszaujvaros, timur Hungary, pada Jumaat.
Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan letupan berlaku di tapak petrokimia MOL ketika proses menghidupkan semula loji Olefin 1 dijalankan.
Menteri Ekonomi Hungary Istvan Kapitany menerusi hantaran di Facebook berkata sebuah kompresor meletup, namun anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.
Menurut beliau, seorang mangsa mengalami kecederaan melecur pada saluran pernafasan yang mengancam nyawa, manakala tujuh lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa cedera dihantar ke hospital di Debrecen dan Miskolc untuk rawatan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Hungary, Peter Magyar, bersama Istvan Kapitany dan Pengerusi Eksekutif MOL Zsolt Hernadi dilaporkan menuju ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan.
Beliau turut berkongsi gambar menunjukkan asap hitam tebal keluar dari loji berkenaan.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan, manakala saham MOL dilaporkan susut 1.9 peratus susulan kejadian itu.