HELSINGBORG: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio berkata terdapat perkembangan positif dalam rundingan mengenai program nuklear Iran, namun menegaskan pendirian asas Washington kekal tidak berubah.
Bercakap pada sidang media sempena mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini, beliau menyifatkan kemajuan itu sebagai sesuatu yang baik, tetapi enggan memberi gambaran berlebihan.
Rubio menegaskan matlamat utama AS adalah memastikan Iran tidak dibenarkan memiliki senjata nuklear. Beliau turut berkata pihaknya perlu menangani isu berkaitan simpanan uranium diperkaya tahap tinggi oleh Tehran.
Selain itu, Rubio membangkitkan kebimbangan mengenai situasi di Selat Hormuz yang menurutnya melibatkan usaha Iran untuk mengawal laluan strategik berkenaan.
Beliau mendakwa terdapat cubaan mewujudkan sistem kutipan tol maritim serta pelibatan Oman dalam pelan tersebut.
Menurutnya, sebarang usaha mengawal laluan perkapalan penting itu tidak boleh diterima oleh mana-mana negara.