KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membawa isu berkaitan hubungan dan kerjasama dengan Pas untuk dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu dalam masa terdekat.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata perkara itu susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata Bersatu memandang serius perkara yang dibangkitkan dan berpandangan setiap isu perlu diteliti secara menyeluruh demi memastikan perpaduan dalam gabungan PN terus diperkukuh.
“Bersatu berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, yang didakwa melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.
Bercakap pada sidang media di Marang, Terengganu, Abdul Hadi menjelaskan ketetapan itu dibuat susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan partinya.