PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mencatatkan prestasi tepat masa (OTP) yang stabil dan lebih baik merentasi perjalanan udara di Malaysia ketika tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Ia sekali gus mencerminkan kerjasama operasi yang lebih berkesan dan perkhidmatan navigasi udara yang dipertingkatkan.
CAAM berkata prestasi yang kukuh itu menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lancar di seluruh negara, tanpa sebarang gangguan utama direkodkan dan majoriti penumpang tiba dengan selamat serta tepat pada masanya di destinasi mereka ketika salah satu tempoh perjalanan paling sibuk tahun ini.
Katanya, penilaian itu yang meliputi tempoh 18 hingga 28 Mac, menunjukkan kebanyakan penerbangan berlepas dalam tempoh 15 minit daripada jadual ditetapkan, dengan penambahbaikan ketara direkodkan terutamanya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Ketika musim perayaan yang mencatatkan permintaan yang tinggi, CAAM memainkan peranan penting dalam menyelaraskan aliran trafik udara yang lancar dan menyokong syarikat penerbangan dalam menguruskan peningkatan jumlah penumpang.
“Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah meluluskan kira-kira 300 penerbangan tambahan dan mengoptimumkan penggunaan landasan menerusi peruntukan landasan khusus untuk meningkatkan kecekapan pergerakan pesawat,” kata kenyataan itu.
CAAM berkata langkah proaktif itu menyumbang kepada pengukuhan keadaan operasi, membolehkan masa pemulihan yang lebih baik dan meminimumkan kesesakan, terutamanya ketika tempoh perjalanan puncak.
“Walaupun kekerapan penerbangan yang meningkat memberikan cabaran kepada operasi, prestasi OTP keseluruhan kekal berdaya tahan.
“Beberapa pengendali mengekalkan prestasi melebihi penanda aras industri iaitu 85 peratus, terutamanya bagi penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang di luar Kuala Lumpur, yang mencatatkan tahap ketepatan masa yang agak tinggi,” katanya.
Menurut CAAM, analisis faktor kelewatan menunjukkan bahawa kebanyakannya disumbangkan oleh keadaan operasi dan luar biasa, yang lazimnya berlaku semasa musim puncak perjalanan.
“Walaupun berdepan semua cabaran ini, usaha yang diselaraskan antara CAAM dan pihak berkepentingan industri memastikan gangguan dapat diuruskan dengan berkesan,” kata kenyataan itu.
CAAM berkata Perkhidmatan Navigasi Udara (ANS) berperanan penting dalam memastikan aliran trafik udara yang selamat, teratur dan cekap menerusi pengurusan ruang udara yang strategik, penyelarasan trafik masa nyata dan peningkatan keupayaan pengawasan.
“Prestasi OTP yang lebih baik ketika tempoh Hari Raya menunjukkan komitmen berterusan CAAM untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman penumpang.
“Dengan memastikan operasi yang lebih lancar dan mengurangkan kelewatan, usaha ini menyumbang kepada jadual perjalanan yang lebih dipercayai, sekali gus membolehkan penumpang sampai ke destinasi mereka dengan lebih yakin dan selesa ketika salah satu tempoh perjalanan paling sibuk tahun ini,” tambahnya.
-- BERNAMA