Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan unjuran kukuh KDNK

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 5.50 mata atau 0.33 peratus kepada 1,695.21 daripada 1,689.71 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi semasa mengakhiri dagangan minggu ini dengan meneruskan momentum kenaikan, dipacu sentimen positif berikutan pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang sekali gus mengukuhkan naratif permintaan domestik yang berdaya tahan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berdasarkan anggaran awal, mencerminkan asas ekonomi yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan peningkatan ketidaktentuan global, khususnya kenaikan harga minyak susulan ketegangan geopolitik.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.50 mata atau 0.33 peratus kepada 1,695.21 daripada 1,689.71 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.64 mata kepada 1,689.07 dan bergerak antara 1,682.88 dan 1,696.39 sepanjang hari.

Pasaran lebih luas adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 612 berbanding 476 manakala 607 kaunter tidak berubah, 1,037 tidak diniagakan dan 35 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 3.46 bilion unit bernilai RM3.08 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.46 bilion pada Khamis.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata reaksi  pasaran menunjukkan bahawa kejutan makro peningkatan mula memberi kesan lebih baik kepada jangkaan pendapatan, terutama bagi sektor berorientasikan domestik.

Kejutan positif makro berlaku apabila data ekonomi yang diumumkan melebihi jangkaan konsensus.

“Walaupun FBM KLCI tidak mencapai sasaran mingguan kami iaitu 1,700 mata, perkembangan pasaran modal minggu ini terus menunjukkan trajektori pertumbuhan yang lebih mampan, disokong peningkatan makro yang jelas dan keadaan domestik yang kukuh.

“Apa yang lebih penting, peningkatan diterajui oleh syarikat runcit dan berkaitan pengguna, meneruskan peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut,” katanya kepada Bernama

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama menyusut berikutan aktiviti pengambilan untung susulan beberapa sesi keuntungan.

“Bagaimanapun, prestasi mingguan FBM KLCI kekal positif, disokong oleh keyakinan baharu terhadap potensi rundingan damai Amerika Syarikat-Iran,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM11.10, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.68, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM14.32, CIMB Group naik dua sen kepada RM7.47 manakala IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM8.73.

Bagi senarai paling aktif, Empire Premium yang membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama, melonjak 34 sen kepada RM1.04, Borneo Oil dan Zetrix AI masing-masing naik setengah sen kepada satu sen dan 83 sen, MMAG susut setengah sen kepada tiga sen manakala Capital A meningkat 1.5 sen kepada 47 sen.

Antara saham paling untung, United Plantations meningkat 62 sen kepada RM34.18, Allianz Malaysia meningkat 50 sen kepada RM21.20, Fraser dan Neave menambah 32 sen kepada RM31, Ayer Holdings meningkat 22 sen kepada RM7.42, dan Hong Leong Industries menambah 20 sen kepada RM17.30.

Bagi saham paling rugi, Petronas Dagangan rendah 26 sen kepada RM20.58, KESM susut 12 sen kepada RM3.23, Batu Kawan berkurangan 10 sen kepada RM21.10, Frontken rendah 10 sen kepada RM4.30 dan Life Water menyusut sembilan sen kepada RM1.39.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 44.39 mata kepada 12,351.21, Indeks FBM Emas menambah 46.55 mata kepada 12,518.17, Indeks FBM Mid 70 meningkat 82.06 mata kepada 17,723.73, Indeks FBM Emas Shariah naik 41.22 mata kepada 12,448.06, dan Indeks FBM ACE menokok 53.37 mata kepada 4,599.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 98.81 mata kepada 19,814.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.06 mata kepada 188.04, Indeks Perladangan meningkat 28.99 mata kepada 8,928.66, dan Indeks Tenaga susut 1.45 mata kepada 815.77.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.11 bilion unit bernilai RM2.81 bilion daripada 2.08 bilion unit bernilai RM3.12 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 871.58 juta unit bernilai RM107.56 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM134.44 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 484.07 juta unit bernilai RM160.36 juta berbanding 633.28 juta unit bernilai RM201.72 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 524.20 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (452.07 juta), pembinaan (233.09 juta), teknologi (229.36 juta), perkhidmatan kewangan (88.22 juta), hartanah (146.80 juta), perladangan (38.14 juta), amanah pelaburan hartanah (16.33 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (171.23 juta), penjagaan kesihatan (95.77 juta), telekomunikasi dan media (35.74 juta), pengangkutan dan logistik (17.66 juta), utiliti (59.29 juta), dan amanah perniagaan (292,400).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video