Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Sandakan: Rawat emosi, kembalikan senyuman mangsa kanak-kanak

SANDAKAN, 21 April -- Sebahagian kanak-kanak bermain lego dan mewarna yang disediakan oleh Cahaya Society di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sibuga hari ini.  Cahaya Society sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan mengambil inisiatif menceriakan kanak-kanak mangsa kebakaran di Kampung Bahagia dengan menyediakan pelbagai aktiviti seperti bermain lego, mewarna dan bermain alat muzik sebagai langkah psikologi di Pusat Pemindahan Sementara mangsa kebakaran di Dewan Sibuga.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPE
Sebahagian kanak-kanak bermain lego dan mewarna yang disediakan oleh Cahaya Society di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sibuga. - Foto BERNAMA

SANDAKAN: Di sebalik wajah keliru dan keletihan mangsa kanak-kanak dalam tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia di sini, nasib mereka tidak dilupakan apabila pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sokongan moral bagi merawat emosi yang terkesan.

Penyelaras Cahaya Society Asrin Utong berkata pihaknya mengambil inisiatif mewujudkan ruang selamat mesra kanak-kanak atau Child Friendly Space (CFS) dengan pengisian pelbagai aktiviti interaktif dan psikososial.

"Pada asasnya, khidmat ini bertindak sebagai ruang selamat untuk kanak-kanak mangsa bencana, bertujuan sebagai intervensi awal bagi meredakan emosi mereka.

"Walaupun kanak-kanak mungkin tidak merasai beban kewangan yang ditanggung orang dewasa, mereka sebenarnya sedang melalui satu fasa trauma yang berat. Jadi, pendekatan psikososial ini sangat penting untuk memastikan pertumbuhan mental mereka tidak terjejas," katanya kepada Bernama.

Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Lintas Sibuga di sini, Asrin berkata pasukannya membawa pelbagai jenis alat permainan, alat muzik seperti ukulele, dan peralatan pendidikan untuk sesi terapi yang berlangsung antara satu hingga dua jam setiap hari.

"Sebelum memulakan sesi CFS, kami jalankan penilaian awal. Kebiasaannya, kanak-kanak ini akan mencari aktiviti yang mempunyai 'sentuhan manusiawi' dan dekat dengan jiwa mereka.

"Selepas sesi berjalan, kami mula nampak senyuman kembali terukir di wajah mereka. Malah, ibu bapa juga turut serta kerana kami percaya mereka juga perlukan ruang untuk lari sejenak daripada tekanan yang menimpa. Mereka perlu gembira dan tenang dahulu, sebab itulah sokongan pascabencana ini sangat dititikberatkan," katanya.

Asrin berkata khidmat CFS itu akan beroperasi secara berterusan hingga hari terakhir PPS berkenaan dibuka, melibatkan antara 10 hingga 15 sukarelawan yang terlatih dalam bidang pengurusan emosi kanak-kanak.

"Cahaya Society kini memasuki tahun kelapan penubuhannya. Kami telah menggerakkan lebih 250 kanak-kanak rentan di sekitar pantai timur Sabah untuk diberi pendidikan literasi dan numerasi, jadi kami mempunyai pengalaman yang luas di lapangan advokasi hak kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, keprihatinan terhadap nasib mangsa turut menarik perhatian Pengasas Maskulin Reflexology & Wellness Centre Mohd Hazizul Abdul Hamid, yang menawarkan khidmat penjagaan kebersihan kendiri seperti memotong dan mencuci kuku kanak-kanak di PPS berkenaan.

"Semasa meninjau lokasi runtuhan di Kampung Bahagia semalam, hati saya tersentuh melihat kuku beberapa kanak-kanak yang kotor dan hitam. Kotoran ini pastinya akibat debu arang kebakaran sewaktu mereka bertungkus lumus menolong keluarga memunggah barang yang sempat diselamatkan.

"Kebetulan Cahaya Society sedang mencari sukarelawan tambahan, jadi saya dan pasukan Maskulin terus ke PPS Dewan Sibuga hari ini untuk membantu mengurus kebersihan diri mereka, sekali gus memberikan kata-kata semangat," katanya.

Mohd Hazizul berkata emosi dan fizikal kanak-kanak tidak boleh diabaikan kerana mereka ialah golongan yang paling terdedah kepada risiko penyakit pascabencana, menjadikan pendedahan awal mengenai penjagaan kebersihan sangat bertepatan dengan masanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video