PUTRAJAYA: Kemudahan khas di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani krisis bekalan global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan MADANI berhubung satu lagi kemudahan khas bagi membantu PMKS.
Inisiatif strategik ini diumumkan hanya sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan tiga langkah bagi membantu PMKS, termasuk jaminan pembiayaan RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan berhad (SJPP).
Secara keseluruhan, pakej sokongan kepada PMKS kini bernilai RM10 bilion.
“Sektor PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 8.1 juta pekerja di negara ini.
“Memandangkan sektor ini paling terdedah kepada risiko ekonomi, suntikan dana ini berfungsi sebagai 'perisai ekonomi' untuk memastikan usahawan tempatan bukan sahaja mampu bertahan malah kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sim berkata sinergi sokongan kerajaan dan daya usaha usahawan akan memastikan sektor PMKS terus menjadi pemacu utama ekonomi negara sekali gus menjamin kestabilan rantaian bekalan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“KUSKOP akan terus memperkukuh usaha ini melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran,” katanya.
Pada Selasa lepas, Anwar, yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan kemudahan khas berjumlah RM5 bilion untuk disalurkan melalui sektor perbankan kepada PMKS yang terkesan.
Kemudahan itu melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan sebelum ini dan menjadikan keseluruhan sokongan kewangan untuk PMKS kini mencecah RM10 bilion.
-- BERNAMA