KUALA LUMPUR: Malaysia diyakini mampu mencapai aspirasi sebagai Negara Pembaca menjelang 2030 melalui usaha berterusan dan sokongan semua pihak, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut hari ini, beliau menegaskan tiga komitmen utama Kerajaan MADANI dalam usaha mencapai aspirasi itu.
Komitmen itu termasuklah memperkasakan perpustakaan desa dan komuniti sebagai hab ilmu, interaksi sosial dan pembangunan masyarakat setempat serta melipatgandakan agenda pendigitalan perpustakaan, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan generasi masa kini.
“(Selain itu), memperkukuh industri buku dan penerbitan negara, termasuk menyokong ekosistem penulisan, penerbitan dan pengedaran bahan bacaan berkualiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Aaron berkata Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara, ialah agensi peneraju dalam usaha menggalakkan budaya membaca di negara ini.
“Plato ada berkata Books give a soul to the universe, wings to the mind, flight to the imagination, and life to everything.
"Selamat Menyambut Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira usia daripada kanak-kanak hingga dewasa,” katanya.
-- BERNAMA