SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira empat tahun putus jari telunjuk dan cedera pada kelopak mata akibat terkena mercun dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku pada 12.45 tengah hari ketika mangsa berada di dalam rumah.
"Kanak-kanak itu dipercayai membakar mercun semasa berada di dalam rumah...letupan mercun menyebabkan mangsa putus jari telunjuk tangan kiri serta cedera pada kelopak mata kanan.
"Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Merbok sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada pihak hospital pada 2.16 petang semalam.
Hanyan berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA