SIMFEROPOL: Jangkitan koronavirus SARS-CoV-2 dan subvarian sedia ada kini tidak lagi menimbulkan ancaman serius kepada manusia berikutan imuniti kelompok terbentuk di seluruh dunia, kata ahli virologi dan Doktor Sains Biologi, Vladimir Oberemok, yang mengetuai Jabatan Biologi Am dan Genetik di Universiti Persekutuan Crimea V.I. Vernadsky kepada RIA Novosti.
“Bahaya serius yang wujud sejak 2020 hingga 2022 telah berlalu. Imuniti kelompok kini terbentuk di seluruh dunia; kebanyakan orang sama ada pernah dijangkiti atau divaksin dan oleh itu sudah mempunyai sel memori terhadap koronavirus.
“Selain itu, varian virus yang lebih mudah merebak berbanding yang lebih membawa maut, kini menjadi lebih dominan. Penyakit ini semakin menunjukkan gejala ringan,” kata Oberemok.
Pada masa sama, ahli virologi itu tidak menolak kemungkinan varian baharu koronavirus SARS-CoV-2 dengan kadar kematian tinggi boleh muncul pada masa hadapan dan berpotensi mencetuskan pandemik baharu.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI