Skip to main content

Malaysia

Kadar zakat fitrah Selangor ditetapkan pada RM8, RM16 dan RM25 bagi Ramadan 2026

FotoBERNAMA
Kadar Zakat Fitrah di Selangor bagi bulan Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM8.00, RM16.00 dan RM25.00 seorang berdasarkan jenis beras yang dimakan. - BERNAMA

SHAH ALAM: Kadar Zakat Fitrah di Selangor bagi bulan Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM8.00, RM16.00 dan RM25.00 seorang berdasarkan jenis beras yang dimakan. 

Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dalam kenyataan memaklumkan penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras. 

“Kadar RM8 seorang adalah bagi individu yang memakan Beras Super Spesial Tempatan atau Beras Putih Import dan RM16 bagi mereka yang memakan Beras Wangi, Beras Pulut, Beras Rebus atau Beras Perang.

“Manakala kadar RM25 bagi individu yang memakan Beras Basmathi, Herba Ponni, Beras Jepun/Calrose, Beras Merah atau Beras Hitam,” menurut kenyataan itu. 

Zakat Selangor turut memaklumkan lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) telah dilantik bagi melancarkan kutipan zakat fitrah yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri, justreru, orang ramai dinasihatkan supaya menunaikan zakat fitrah hanya kepada PAF yang dilantik secara rasmi.

Sementara itu, Zakat Selangor memaklumkan PAF di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak akan menggunakan aplikasi mudah alih sepenuhnya dalam urusan kutipan.

Pembayar akan menerima slip pengesahan bayaran secara digital sebaik transaksi dibuat dan semakan boleh dilakukan melalui EZO, sistem pembayaran zakat secara elektronik Zakat Selangor.

“Di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat, pembayaran masih dibuat menggunakan buku kupon fitrah selain turut disokong aplikasi sama.

“Pembayaran turut boleh dibuat melalui aplikasi ZPay di kaunter sementara yang dibuka di lebih 200 premis terpilih bagi urusan tanpa tunai. Transaksi ini boleh dilakukan melalui FPX, kad kredit atau debit, e-wallet serta QR DuitNow,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Zakat Selangor turut menggalakkan umat Islam di Selangor untuk menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri.

Menurut kenyataan itu, 19 cawangan Zakat Selangor akan dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bagi memudahkan urusan pembayaran sepanjang bulan Ramadan nanti.

Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, manakala hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan Zakat Selangor akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video