Skip to main content

Malaysia

Kad Nusuk wajib, pastikan keselamatan dan keselesaan, elak kesesakan luar kawalan

haji 2026
Aplikasi Nusuk berfungsi sebagai kelulusan rasmi untuk jemaah memasuki Tanah Haram di Mekah, termasuk untuk memasuki Masjidil Haram. - Gambar/ Tabung Haji

MEKAH: Penggunaan kad dan aplikasi Nusuk kini menjadi keperluan wajib dan dikuatkuasakan secara ketat oleh kerajaan Arab Saudi sebagai langkah utama mengawal pergerakan serta menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji pada musim Haji 2026.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, aplikasi Nusuk berfungsi sebagai kelulusan rasmi untuk jemaah memasuki Tanah Haram di Mekah, termasuk untuk memasuki Masjidil Haram.

“Penggunaan Nusuk bukan sekadar prosedur pentadbiran, sebaliknya menjadi mekanisme kawalan utama pihak berkuasa Arab Saudi.

“Di setiap lokasi pemeriksaan atau checkpoint, jemaah akan melalui proses imbasan dan semakan kod Nusuk. Penguatkuasaannya amat ketat,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem Nusuk secara menyeluruh bertujuan memastikan hanya jemaah yang mempunyai permit haji dan kebenaran sah dibenarkan berada di kawasan Tanah Haram, sekali gus mengelakkan kesesakan luar kawalan.

Tengku Mohd Dzaraif menjelaskan, kawalan ketat ini amat penting bagi mengelakkan kemasukan jemaah tanpa permit yang boleh menyebabkan jumlah jemaah melebihi kapasiti sebenar.

“Sekiranya kawalan tidak dibuat, bilangan jemaah boleh mencecah atau melebihi dua juta orang, dan keadaan ini sudah tentu menyukarkan pengurusan serta menjejaskan keselamatan dan keselesaan semua jemaah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi selaku Penjaga Dua Masjid Suci bertanggungjawab memastikan perjalanan ibadah haji berjalan lancar, selamat dan teratur, dan sistem Nusuk merupakan antara pendekatan utama ke arah itu.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Dzaraif memuji tahap pematuhan jemaah Malaysia yang disifatkan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk berkaitan penggunaan Nusuk.

Must Watch Video