Skip to main content

Malaysia

Jurujual didenda RM25,000 bantu sembunyi wang RM319,000 milik pensyarah

71743102937_courtgavel.jpg
Lelaki itu didakwa membantu menyembunyikan wang RM319,000 milik seorang wanita berusia 44 tahun dengan wang terbabit dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membantu menyembunyikan wang RM319,000 milik seorang pensyarah, tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Jun Wah, 30, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa membantu menyembunyikan wang RM319,000 milik seorang wanita berusia 44 tahun dengan wang terbabit dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Melati Square, Wangsa Maju, di sini antara 3 April hingga 26 Sept 2025, mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga seorang pensyarah sebuah kolej berminat dengan iklan pinjaman wang dalam talian yang dilihat melalui Facebook sebelum menghubungi nombor telefon tertera.

Pada permulaan, pengadu membuat pinjaman RM50,000 namun hanya memperoleh RM40,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik pengadu.

Selepas itu, pengadu mula terperangkap dengan membuat pinjaman daripada 33 individu membabitkan pinjaman keseluruhan berjumlah RM4.9 juta.

Pengadu kemudian membuat bayaran penuh pinjaman berjumlah RM6.8 juta, namun masih diminta untuk terus membuat bayaran tambahan menyebabkan beliau membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

Hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju mendapati terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM319,500 ke dalam akaun bank milik tertuduh dan tertuduh kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa.

Peguam Evie Melynda Jee merayu hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya yang berpendapatan bulanan kira-kira RM3,000 menanggung ibu bapanya.

"Selain itu, anak guam saya juga telah memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan, selain pengakuan salahnya telah menjimatkan masa serta kos mahkamah," kata peguam itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video