GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan berhubung seorang individu yang mendakwa nombor pendaftaran kenderaan milik syarikatnya telah dipindah hak milik tanpa kebenaran.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menyiasat mengenai dakwaan tersebut serta mengambil tindakan berdasarkan prosedur dan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tidak dinafikan sebelum ini memang ada beberapa aduan yang diterima berkaitan penukaran hak milik tanpa kebenaran pemilik asal.
“Tindakan diambil dari semasa ke semasa, sekiranya ada aduan dibuat. Ia dilaksanakan berdasarkan prosedur dan juga perundangan semasa,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena ulang tahun ke-80 JPJ di The Top Komtar, di sini hari ini.
Terdahulu seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa, Januari lepas.
Kenderaan berkenaan yang memiliki nombor pendaftaran popular dan unik, didakwa telah dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannya, selain turut mendakwa beberapa rakannya yang mengumpul nombor pendaftaran kenderaan 'istimewa' dan 'unik' turut berdepan situasi sama.
Aedy Fadly berkata JPJ komited membantu pemilik namun perlu meneliti setiap kes secara terperinci sebelum sebarang tindakan diambil bagi memastikan keputusan dibuat berlandaskan fakta dan perundangan.
“Ini kerana kemungkinan sesetengah dakwaan tidak tepat, termasuk situasi pemilik yang merasakan nombor pendaftaran itu masih miliknya walhal penukaran telah dilakukan secara sah,” katanya.
Mengulas kemungkinan penglibatan pihak dalaman, beliau tidak menolak perkara itu namun menegaskan siasatan menyeluruh perlu dijalankan terlebih dahulu dan setiap kes akan diteliti secara kes demi kes sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Mengenai video tular melibatkan pemandu bas didakwa memandu dalam keadaan berbahaya di Melaka, beliau berkata pihaknya perlu meneliti kes tersebut terlebih dahulu dan siasatan lazimnya dijalankan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata polis sedang mengesan individu terbabit dengan siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.
Berdasarkan rakaman pemandu bas ekspres terbabit dilihat memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang serta hanya menggunakan sebelah tangan untuk mengawal stereng ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
-- BERNAMA