Skip to main content

Malaysia

JPJ buka bidaan nombor pendaftaran "P_P" sempena ulang tahun ke-80

GEORGE TOWN, 17 April — Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli (tengah) bersama pegawainya menunjukkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks ‘P_P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu di The Top, Komtar di sini hari ini.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aedy (tengah) ketika melancarkan NPI sempena ulang tahun ke-80 JPJ di The Top di sini hari ini. - Gambar/ Bernama

GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “P_P” sempena sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata bidaan bagi siri itu akan dibuka bermula Isnin, 20 April hingga 10 malam, 24 April melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dan keputusan akan diumumkan pada 25 April. 

“Penawaran siri eksklusif berkenaan adalah simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

“Pemilihan tanda indeks “P_P” mencerminkan peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, selain sinonim dengan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NPI sempena ulang tahun ke-80 JPJ di The Top di sini hari ini.

Aedy berkata harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300).

Beliau berkata nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.

Sementara itu, beliau berkata bersempena dengan sambutan Karnival Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Batu Kawan pada 24 hingga 26 April ini, JPJ turut menawarkan hampir 50,000 nombor pendaftaran untuk jualan terus dengan diskaun 50 peratus.

“Sebagai contoh, nombor menarik akan ditawarkan bermula harga RM250, melibatkan nombor baki yang belum didaftarkan sebelum ini dan hanya boleh dibeli di karnival berkenaan pada Ahad, 26 April,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video