Skip to main content

Malaysia

Jalil Hamid meninggal dunia: Malaysia hilang sebutir lagi permata seni - Fahmi

Jalil Hamid - FB Fahmi Fadzill
Menurut Fahmi, Allahyarham Jalil Hamid merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakatnya tersendiri. - Gambar/ FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, negara kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air dengan pemergian pelawak dan pelakon veteran, Jalil Hamid.

Jalil, 69, meninggal dunia di rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin.

“Saudara Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.

“Beliau merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakat tersendiri,” kata Fahmi dalam satu kenyataan hari ini.

Jenazah pelakon veteran itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Asar pada Isnin.

Difahamkan, Allahyarham sebelum ini mempunyai sejarah masalah jantung. Walau bagaimanapun, punca kematiannya masih belum didedahkan.

Fahmi turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham.

“Segala jasa, bakti dan sumbangannya akan sentiasa dikenang.

“Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Jalil dilahirkan pada 25 April 1957 dan membesar di Masai, Johor.

Beliau aktif dalam dunia lakonan sejak tahun 1980-an, di mana beliau membintangi rancangan dan drama di pelbagai saluran termasuk RTM, TV3 dan Astro sepanjang empat dekad.

Must Watch Video