KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pelbagai pihak berkaitan mengenai isu rumah ibadat tidak berdaftar bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang mengambil kira aspek keharmonian masyarakat, pematuhan undang-undang serta sensitiviti agama.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan supaya Kementerian Perpaduan menyelaras satu perbincangan lanjut berkaitan isu rumah ibadat tidak berdaftar.
"Ia melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Wilayah Persekutuan serta pihak-pihak lain yang berkepentingan," kata Fahmi dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat yang gagal mematuhi peraturan.
Tambah Perdana Menteri, semua rumah ibadat, tanpa mengira agama, tertakluk kepada undang-undang sedia ada dan sebarang pelanggaran perlu ditangani secara berhemah melalui saluran yang sah.