Skip to main content

Hiburan

Watak dalam 'Tarung: Unforgiven' paling mencabar, gabung aksi dan luka emosi - Aedy

Sumber: Astro SHAW
Tarung: Unforgiven yang mula ditayangkan pada 7 Mei dijangka menjadi antara filem aksi tempatan yang mencuri perhatian tahun ini menerusi gabungan aksi padat, emosi mendalam dan penceritaan yang lebih realistik. - Astro Shaw

KUALA LUMPUR: Filem aksi tempatan, Tarung: Unforgiven tampil dengan pendekatan berbeza apabila bukan sahaja mempertaruhkan babak pertarungan mendebarkan, malah menyelitkan elemen emosi dan konflik dalaman yang kuat menerusi perjalanan setiap karakter.

Pelakon utama yang juga penerbit eksekutif filem itu, Aedy Ashraf menyifatkan watak Isa yang dibawanya sebagai antara karakter paling mencabar pernah dilakonkan sepanjang penglibatannya dalam industri seni.

Menurut Aedy, karakter tersebut memerlukan penghayatan emosi yang mendalam kerana membawa luka dan trauma tersendiri di sebalik aksi yang dipaparkan di layar.

“Isa mempunyai luka yang sangat dalam. Untuk membawa karakter seperti itu dalam sebuah filem aksi bukan sesuatu yang mudah,” katanya dalam AWANI Pagi

Tambah beliau, latihan intensif bersama jurulatih lakonan dilakukan bagi memastikan setiap babak mampu diterjemahkan dengan tepat dari sudut emosi dan aksi.

Katanya, produksi filem itu tidak mahu adegan pertarungan sekadar kelihatan ganas, sebaliknya setiap aksi perlu mempunyai rasa dan tujuan yang jelas.

“Kami mahu setiap aksi nampak solid dan 'intense', bukan semata-mata bergaduh,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Aedy turut menggalas tanggungjawab besar sebagai penerbit eksekutif sepanjang penggambaran berlangsung.

Menurutnya, cabaran membahagikan fokus antara tugas produksi dan lakonan menjadi pengalaman paling sukar pernah dilalui.

Bagaimanapun, beliau mengakui kekuatan pasukan produksi Alpha 47 banyak membantu melancarkan keseluruhan proses penggambaran.

Aedy berkata, keserasian dan semangat kerja seluruh pasukan berjaya mewujudkan suasana kerja yang positif sehingga memberi impak kepada hasil akhir filem tersebut.

“Kami datang bekerja dengan gembira dan semua buat kerja dengan ikhlas. Tenaga di set itu sangat baik dan semuanya nampak jujur di atas skrin,” katanya.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip filem berkenaan, Razaisyam Rashid berkata beliau masih memilih genre aksi kerana cabaran yang datang bersama proses pembikinannya.

Menurut Razaisyam, walaupun filem aksi memerlukan komitmen fizikal dan mental yang tinggi, elemen itulah yang menjadikan proses berkarya lebih menarik.

“Saya masih suka buat cerita aksi sebab ia intens. Walaupun penat, cabaran itulah yang menyeronokkan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan penggiat filem sememangnya tertarik kepada perkara yang mencabar dan itulah antara sebab mereka terus berkarya dalam industri perfileman.

Tarung: Unfirgiven yang mula ditayangkan pada 7 Mei dijangka menjadi antara filem aksi tempatan yang mencuri perhatian tahun ini menerusi gabungan aksi padat, emosi mendalam dan penceritaan yang lebih realistik.

Must Watch Video