KUALA LUMPUR: Malaysia semakin dilihat sebagai pasaran modal dua hala apabila syarikat tempatan berpotensi tinggi giat mencari akses kepada kecairan global, manakala pelabur asing pula terus memandang negara ini sebagai pintu masuk strategik pelaburan ke Asia Tenggara.
Rakan Kongsi ARC Group Datuk Seri Paul Chong berkata landskap pembiayaan global yang semakin berubah telah mewujudkan peralihan struktur yang perlu disesuaikan oleh syarikat Malaysia, khususnya apabila firma ekuiti persendirian dan modal teroka menjadi lebih selektif dalam penyaluran modal.
“Firma ekuiti persendirian dan modal teroka kini menumpukan sepenuhnya kepada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maju. Bagi syarikat di luar sektor tersebut, persekitaran pembiayaan kini menjadi semakin mencabar,” katanya pada majlis makan tengah hari media tertutup di sini semalam, sempena Forum Pasaran Modal & M&A 2026.
Beliau berkata terdapat syarikat yang kini ditawarkan pembiayaan hutang berstruktur berbanding ekuiti, sekali gus menunjukkan pelabur tradisional semakin berhati-hati.
Sehubungan itu, Chong berkata syarikat tidak lagi mampu menangguhkan rancangan untuk memasuki pasaran awam dan menegaskan keputusan berkaitan strategi penyenaraian serta lokasi penyenaraian perlu dibuat lebih awal dan secara lebih strategik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ARC Group Securities Ian Hanna berkata pasaran modal Amerika Syarikat (AS) terus menawarkan kelebihan melangkaui akses kepada pembiayaan, khususnya dari segi kecairan dan penyertaan pelabur institusi.
“Terdapat kecairan yang jauh lebih besar serta kumpulan pelabur institusi yang lebih luas, sekali gus membolehkan syarikat mendapatkan dana dengan lebih efisien dan kembali ke pasaran untuk pembiayaan tambahan,” katanya.
Hanna berkata bursa seperti Nasdaq dan Bursa Saham New York (NYSE) turut menawarkan fleksibiliti lebih besar kepada syarikat berorientasikan pertumbuhan yang masih dalam fasa pengembangan kerana tidak mengenakan syarat keuntungan seperti yang diamalkan sesetengah bursa serantau.
Ketua Pengurusan Aset & Kekayaan ARC Group Nigel Wong berkata proses penyenaraian rentas sempadan sebenarnya lebih mudah diakses berbanding tanggapan kebanyakan syarikat tempatan.
“Kami telah membantu syarikat Asia menguruskan kerumitan ini sejak sekian lama. Aliran syarikat dari Asia Tenggara ke pasaran modal global adalah nyata dan terus berkembang,” katanya.
Chong turut menyentuh jurang penilaian antara pasaran modal domestik Malaysia dengan pasaran antarabangsa, khususnya bagi syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi tetapi belum mencapai tahap keuntungan yang kukuh.
“Masih terdapat jurang antara apa yang mampu dicapai syarikat di peringkat tempatan dan apa yang boleh diakses di peringkat global, terutama dari segi penilaian dan capaian pelabur,” katanya.
Walaupun semakin banyak syarikat Malaysia berminat meneroka pasaran modal luar negara, ARC Group berkata Malaysia sendiri kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI), disokong trend kepelbagaian rantaian bekalan, pelaburan infrastruktur digital dan persekitaran kawal selia yang stabil.
Firma itu berkata walaupun aliran FDI global menurun pada 2024, aliran masuk ke ASEAN dan Malaysia kekal berdaya tahan, khususnya dalam sektor infrastruktur digital, pembuatan maju dan tenaga bersih.
Wong berkata ARC Group turut menyaksikan peningkatan minat dalam kalangan pejabat keluarga antarabangsa dan pelabur institusi yang mahu meneroka peluang pelaburan berteraskan ASEAN.
“Perbincangan kini bukan lagi bersifat sehala. Kami melihat minat dua hala yang nyata di mana syarikat Malaysia mahu berkembang ke peringkat global, manakala pelabur global mahu mendapatkan pendedahan kepada Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Forum Pasaran Modal & M&A 2026 – Edisi Malaysia akan berlangsung pada 7 Mei di EQ, Equatorial Plaza, Kuala Lumpur, menghimpunkan eksekutif kanan, pelabur dan penasihat bagi membincangkan trend pasaran modal global, penggabungan dan pengambilalihan rentas sempadan serta strategi penyenaraian antarabangsa.