Skip to main content

Malaysia

PRN: DUN Johor tidak dibubarkan hari ini - Onn Hafiz

Sumber: Ihsan Pejabat MB
Onn Hafiz menyeru semua ADUN supaya bertenang berhubung spekulasi berkenaan PRN. - Foto Pejabat MB

ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi penggulungan Sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menyeru semua ADUN supaya bertenang berhubung spekulasi berkenaan PRN.

“Ada desas-desus mengatakan PRN akan diadakan dalam masa terdekat, dengan pelbagai spekulasi timbul.

“Bagi menjawab spekulasi itu, pada hari ini, 7 Mei, saya ingin mengumumkan bahawa DUN Johor tidak akan dibubarkan hari ini.

“Jangan risau mengenai PRN Johor, sebaliknya teruskan berkhidmat kepada rakyat. Tumpuan kini adalah kepada pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif,” katanya.

PRN Johor ketika ini masih dalam tempoh matang dan dijangka berakhir pada April 2027.

Tahun lalu, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa PRN Johor tidak akan diadakan lebih awal memandangkan kerajaan negeri masih mempunyai tempoh untuk memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.

Kebelakangan ini, spekulasi mengenai kemungkinan PRN Johor diadakan tahun ini semakin kuat, terutama selepas beberapa parti politik menyatakan hasrat untuk bertanding di beberapa kerusi.

Pada PRN Johor yang lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).
 

Must Watch Video