Skip to main content

Malaysia

Isu rantaian bekalan, jangan ketepi fakta demi kepentingan politik sempit - PM

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri Anwar menegur tindakan segelintir pihak yang sengaja membelakangkan fakta dan kebenaran demi kepentingan politik sempit, terutama apabila membabitkan isu rantaian bekalan serta kenaikan harga tenaga di peringkat global. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan segelintir pihak yang membelakangkan fakta dan kebenaran demi kepentingan politik sempit, khususnya dalam isu berkaitan rantaian bekalan serta kenaikan harga tenaga di peringkat global.

Perdana Menteri menegaskan, budaya politik di Malaysia kadangkala tidak berpaksikan realiti apabila ada pihak menggunakan naratif agama, kaum atau atas nama rakyat tanpa menilai fakta sebenar, termasuk dakwaan kononnya terdapat sebuah negeri yang tidak dilalui Petronas serta isu bayaran seumur hidup di Selat Hormuz.

"Ini kadang-kadang ada politik di Malaysia, kadang-kadang dia tak kira fakta, dia tak kira benar. Sama ada dia guna nama Islam ke, nama Melayu ke, nama rakyat ke, dia tidak pernah menilai kebenaran dan fakta," tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES), di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai gangguan di laluan perdagangan utama tersebut, Perdana Menteri berkata, apabila sesuatu laluan strategik terganggu, kos operasi akan meningkat secara mendadak.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, peningkatan harga yang dialami ketika ini bukanlah satu manipulasi kerajaan, sebaliknya kesan daripada kos pengangkutan (freight) dan insurans yang melonjak tinggi ekoran risiko keselamatan terhadap anak kapal dan aset syarikat.

"Keadaan mungkin tidak mudah, mesti melalui salah satu laluannya tapi bila tersangkut, ada yang mengatakan harga lama masih betul. Itu tidak benar kerana kos freight bertambah, kos insurans bertambah. 

"Apabila melibatkan keselamatan anak-anak kapal dan syarikat, harga melambung tinggi dan akhirnya kesan itu kita yang terima," katanya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan, kedudukan Malaysia dalam aspek jaminan bekalan (supply) tenaga adalah jauh lebih stabil berbanding negara-negara lain.

Tambah beliau, berdasarkan taklimat terkini daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Mohd Hassan Marican, beliau menegaskan, hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara pengeluar utama telah membantu Malaysia mengekalkan kestabilan bekalan minyak dan gas.

"Kita bernasib baik, Malaysia antara negara yang terjamin bekalan dan gas. Hubungan baik kita dengan Iran, Rusia dan Turkmenistan memberikan kita jaminan bekalan. Jadi, dari segi bekalan kita tiada masalah, tetapi cabarannya adalah harga yang meningkat di luar kawalan kita," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Anwar mengingatkan rakyat bahawa situasi harga minyak yang dialami Malaysia ketika ini tidak dapat lari daripada tekanan global yang sama dihadapi oleh negara jiran seperti Indonesia.

Must Watch Video