Skip to main content

Malaysia

Insentif RM100,000 kepada lima MRSM terbaik SPM 2025

DUNGUN, 20 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan insentif kecemerlangan kepada wakil Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Muhammad Hanafi Hamsan @ Kamisan (empat, kanan) pada Majlis Perasmian MRSM Dungun hari ini.  Turut sama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (dua, kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid (tengah) menyampaikan insentif kecemerlangan kepada wakil MRSM Tun Ghafar Baba, Muhammad Hanafi Hamsan @ Kamisan (empat, kanan) pada Majlis Perasmian MRSM Dungun hari ini. - Gambar Bernama

DUNGUN: Kerajaan menyalurkan insentif keseluruhan RM100,000 kepada setiap Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berada dalam kelompok lima sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu sebanyak RM50,000 akan disalurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), manakala RM50,000 lagi oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM650,000 kepada MRSM Tun Ghafar Baba, yang juga sekolah terbaik pada SPM 2025, bagi tujuan baik pulih infrastruktur dan fasiliti maktab.

“Keputusan SPM yang lepas mencerminkan kerja kuat kita semua. Lima MRSM berada dalam kelompok teratas ‘Top 5’ sekolah terbaik di Malaysia. Bilangan pelajar semua A+ meningkat kepada 85 orang. 

“Dalam masa sama, MRSM Ulul Albab seperti MRSM ATM Bera dan MRSM Bagan Datuk walaupun masih baru telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MRSM Dungun di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Untuk rekod, MRSM yang berada dalam kelompok lima sekolah terbaik negara pada SPM 2025 ialah MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Gemencheh, MRSM Taiping, MRSM Pengkalan Chepa, dan MRSM Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menyeru semua warga MRSM untuk terus kekal cemerlang melalui pelbagai pendekatan termasuk memperkukuh kualiti akademik, dan penguasaan bidang strategik masa depan,  pemerkasaan Program Ulul Albab, dan memperluas kerjasama strategik dengan alumni, industri, universiti dan rakan antarabangsa.

“MRSM menjadi satu nama besar dalam sistem pendidikan negara yang memberikan peluang untuk anak-anak di ceruk desa, daripada keluarga serba kekurangan untuk dapat bersama-sama mengambil peluang di 58 MRSM di seluruh negara dan menjadi sebahagian daripada lebih 260,000 alumninya,” katanya.

Sementara itu, MRSM Dungun yang juga MRSM ke-58 di negara ini dan kelima di Terengganu, bertujuan membuka peluang pendidikan berkualiti kepada 750 pelajar khususnya dari kawasan luar bandar.

Institusi pendidikan MARA itu yang dibangunkan di kawasan seluas 28 hektar mula beroperasi pada 1  Dis 2025 dengan pengambilan pertama pelajar pada Januari lepas.

Setakat 28 Mac lepas, sebanyak  295 pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat telah memulakan pembelajaran di MRSM berkenaan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 14 makmal Sains, dua makmal komputer dan bengkel Reka Bentuk dan Teknologi.

 -- BERNAMA

Must Watch Video