KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHP) perkhidmatan Malaysia meningkat 2.1 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 1.0 peratus pada suku keempat 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh pertambahan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), pengangkutan dan pendidikan.
“Indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan F&B meningkat 5.7 peratus selepas peningkatan 3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya, disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.2 peratus) dan aktiviti perkhidmatan minuman (3.1 peratus).
“Indeks pengangkutan meningkat 3.8 peratus berbanding 2.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara yang meningkat 6.4 peratus,” katanya.
Mohd Uzie berkata indeks pendidikan turut meningkat 1.9 peratus selepas peningkatan 1.5 peratus pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh pendidikan menengah (1.7 peratus) dan pendidikan tinggi (1.5 peratus).
“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan adalah kesenian, hiburan dan rekreasi (1.6 peratus), kesihatan (1.5 peratus), profesional (1.0 peratus) dan aktiviti hartanah (0.6 peratus),” katanya.
Menurutnya indeks maklumat dan komunikasi mencatatkan peningkatan marginal 0.1 peratus berbanding penurunan 0.1 peratus pada suku keempat 2025, disebabkan oleh indeks pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan (0.8 peratus).
Mohd Uzir berkata pada asas suku tahunan, IHP perkhidmatan meningkat 1.4 peratus daripada peningkatan 0.3 peratus pada suku keempat 2025.
“Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (6.3 peratus) dan penginapan dan aktiviti perkhidmatan F&B (3.5 peratus).
“Selain itu, indeks lain yang menunjukkan peningkatan adalah pengangkutan (1.6 peratus), pendidikan (1.1 peratus), kesihatan (1.0 peratus) dan profesional (0.8 peratus) manakala indeks aktiviti hartanah dan maklumat dan komunikasi masing-masing mencatatkan peningkatan perlahan sebanyak 0.4 peratus dan 0.2 peratus,” katanya.
-- BERNAMA