Skip to main content

Malaysia

Ekonomi biru: Kerajaan Sabah perkasakan pembangunan Semporna, Lahad Datu dan Sandakan

Hajiji_BERNAMA
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu selaras dengan agenda pembangunan di kawasan berkenaan, termasuk potensi dalam Ekonomi Biru selaras dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha menambah hasil negeri. - Gambar fail

SEMPORNA: Kerajaan negeri akan memperkasakan dan melakukan yang terbaik bagi meningkatkan kemudahan termasuk segala keperluan yang diperlukan di kawasan Pantai Timur, khususnya di Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu selaras dengan agenda pembangunan di kawasan berkenaan, termasuk potensi dalam Ekonomi Biru selaras dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha menambah hasil negeri.

“Kami akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudah-mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pulau Mataking bersempena program tinjauan keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) di sini hari ini.

Hajiji berkata program lawatan ke Pantai Timur selama tiga hari bermula Selasa lepas ke gugusan pulau di sekitar Semporna selain di Sandakan dan Lahad Datu adalah untuk meninjau sendiri keadaan keselamatan, terutama di pulau-pulau sekitar pantai timur Sabah.

Ketua Menteri juga mahu melihat keadaan pos kawalan keselamatan di pulau terbabit selain mendengar taklimat mengenai pembangunan di tiga daerah yang dilawati sepanjang jelajah berkenaan.

Beliau turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan di pulau itu serta perletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video