Skip to main content

Malaysia

Imbangi liputan dan ibadah haji ketika dunia dilingkari konflik Asia Barat

[TB]_HAJI AWANI_ASTRO AWANI
Essan (kiri) bersama Hilal berlepas ke Madinah hari ini dari Pusat Konvensyen dan Hotel Mövenpick untuk menyertai jemaah yang telah tiba bagi persiapan ibadah haji bulan hadapan. - Astro AWANI

SEPANG: Menunaikan ibadah haji tatkala dunia berdepan konflik Asia Barat merupakan cabaran terbaharu bagi para jemaah pada musim kali ini.

Dua editor Astro AWANI, iaitu Essan Yahya dan Hilal Azmi berpeluang mengikuti serta melakukan liputan ibadah sebagai petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Essan selaku Editor Kanan optimis dua kota suci di Arab Saudi iaitu Mekah dan Madinah kekal dilindungi dari sebarang ancaman atau serangan walaupun konflik telah berlarutan lebih sebulan.

“Seperti yang kita ketahui, janji Allah mengenai tanah haram adalah tempat paling selamat, terbaik dan tenang di dunia, dan apa sahaja (berlaku) kita berserah kepada-Nya,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut berdoa agar perjalanan jemaah pada tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Tambahnya, doa turut dipanjatkan agar konflik yang sedang melanda di Gaza, Iran, Lubnan dan beberapa kawasan yang terjejas kembali aman dan tenteram.

Untuk rekod, Amerika Syarikat dan Israel telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran sejak 28 Feb lalu, sekali gus mencetuskan konflik yang berlarutan di rantau Asia Barat.

Situasi itu turut mengheret beberapa negara Teluk apabila berlaku serangan balas dan ketegangan rentas sempadan, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan keseluruhan rantau tersebut.

Namun pada 15 April, TH dilaporkan telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik tersebut.

Malah pada 17 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, dilaporkan berkata tiada jemaah haji yang sudah terpilih menolak tawaran susulan konflik di Asia Barat. 

Menyentuh soal liputan, Hilal, selaku Ketua Editor Media Sosial, turut menekankan bahawa peranan sebagai pengamal media dan jemaah haji dapat diimbangi sepanjang tempoh berada di kota suci.

Beliau turut berharap agar liputan kali ini dapat memberi gambaran kepada masyarakat yang suatu hari nanti berpeluang menjadi duyufurrahman, atau tetamu Allah, di kota suci.

“Kami ingin memastikan laporan yang cukup rencah dan rasa agar ia lebih bermakna serta membawa erti, memandangkan ibadah haji bertujuan melengkapkan rukun Islam bagi yang berkemampuan,” katanya.

Must Watch Video