Skip to main content

Malaysia

Global Sumud lambang fasa baharu dalam perjuangan pembebasan Palestin - MAPIM

71760006349_GlobalSumudFlotill.jpg
Mohd Azmi berkata gerakan itu mencerminkan evolusi ketabahan rakyat Palestin kepada usaha solidariti antarabangsa yang lebih meluas, didorong oleh masyarakat sivil, aktivis kemanusiaan dan komuniti di seluruh benua. - Gambar fail

KUALA LUMPUR:  Global Sumud Flotilla (GSF) melambangkan fasa baharu dalam perjuangan keadilan dan pembebasan di Palestin, menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata gerakan itu mencerminkan evolusi ketabahan rakyat Palestin kepada usaha solidariti antarabangsa yang lebih meluas, didorong oleh masyarakat sivil, aktivis kemanusiaan dan komuniti di seluruh benua.

Beliau berkata inisiatif seperti GSF, kempen advokasi dan rangkaian solidariti menunjukkan bahawa perjuangan Palestin tidak lagi terpencil, sebaliknya semakin berakar umbi dalam gerakan global yang melibatkan penentangan dan sokongan kemanusiaan.

Mohd Azmi berkata solidariti global ini turut berkait dengan dinamik serantau yang lebih luas, termasuk sokongan Iran terhadap perjuangan Palestin, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada penentangan lebih menyeluruh terhadap pendudukan dan pencerobohan Israel.

“Sokongan Iran terhadap Palestin berakar umbi daripada penentangannya terhadap perluasan pengaruh Israel. Ia mencabar dominasi susunan serantau yang disokong Barat dan berusaha meletakkan Palestin sebagai isu keadilan yang utama di Asia Barat.

Mohd Azmi berkata penyatuan pada peringkat akar umbi, mobilisasi antarabangsa dan penentangan di peringkat nasional telah mewujudkan satu perjuangan yang pelbagai peringkat, dengan Palestin kekal menjadi teras dalam usaha menegakkan keadilan.

Namun, beliau menekankan perjuangan Palestin perlu kekal berteraskan keadilan dan undang-undang antarabangsa, serta tidak boleh dijadikan alat kepentingan geopolitik atau diubah menjadi medan pertempuran proksi. 

Beliau berkata sokongan terhadap Palestin perlu terus mengutamakan perlindungan orang awam sambil mengekalkan kejelasan moral yang menjadi asas perjuangan.

Menurut MAPIM, pembebasan Palestin tidak dapat dipisahkan daripada keadilan serantau yang lebih luas, manakala Al-Aqsa kekal sebagai simbol penyatuan umat Islam dan kemanusiaan.

“Masa depan Palestin tidak akan ditentukan oleh kekuatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya oleh penyatuan rakyat yang enggan berganjak, gerakan global yang tidak mahu berdiam diri dan realiti serantau yang menolak normalisasi ketidakadilan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video