KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) akan menjadi platform strategik untuk menggalakkan dialog pelaksanaan peralihan tenaga di Malaysia serta di rantau ASEAN.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, persidangan itu berlandaskan tiga teras kandungan utama, iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People, yang mencerminkan kebergantungan semakin erat antara sistem tenaga dan teknologi digital.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad berkata, persidangan itu memberi tumpuan kepada usaha merealisasi inisiatif yang telah digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk mempercepat pelaksanaan strategi sedia ada.
“Objektif utama persidangan ini adalah untuk menyelaraskan dasar, pelaburan dan inovasi teknologi dalam satu ekosistem kolaboratif yang melibatkan semua pihak termasuk penggubal dasar, pemain industri, pelabur serta masyarakat.,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau menambah, antara tumpuan utama persidangan kali ini adalah teras kandungan pertama iaitu Energy for AI, yang menekankan keperluan tenaga sebagai asas kepada pembangunan kecerdasan buatan.
Menurutnya, perkembangan pesat pusat data di Malaysia menunjukkan permintaan tenaga yang semakin meningkat bagi menyokong keupayaan pemprosesan AI, sekali gus menjadikan bekalan tenaga yang stabil sebagai keperluan kritikal.
“AI tak boleh berfungsi tanpa tenaga, dan hari ini kita lihat pembangunan pusat data yang pesat, yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil untuk menyokong operasi AI,” ujarnya.
Teras kandungan kedua, AI for Energy, pula memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi AI dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan sistem tenaga negara.
Shamsul berkata, penggunaan AI membolehkan ramalan gangguan dibuat lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan dan meningkatkan kebolehpercayaan grid.
“Dengan penggunaan AI, kita boleh meramal kemungkinan gangguan sebelum ia berlaku, sekali gus mengurangkan frekuensi kerosakan dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.
Selain itu, AI turut membantu dalam meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu seperti solar melalui analisis data dan ramalan yang lebih tepat bagi menstabilkan bekalan.
Teras kandungan ketiga, ET for People, menekankan kepentingan memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan sektor tenaga baharu turut membuka peluang ekonomi termasuk penciptaan pekerjaan serta pembangunan kemahiran melalui program latihan seperti TVET.
“Peralihan tenaga ini perlu inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk dari segi peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kolaborasi antara kerajaan, industri dan masyarakat penting dalam membangunkan ekosistem tenaga yang mampan serta berdaya tahan.
Dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, ETCon26 merupakan persidangan perdana yang diilhamkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Layari www.the-etconference.com untuk keterangan lanjut.